Rabu, 15 Jun 2016 | 11:52pm

BSN agih 5,000 bubur lambuk di Georgetown


KAKITANGAN Bank Simpanan Nasional Jalan Macalister (kanan) mengagihkan 5,000 bungkus bubur lambuk percuma kepada orang ramai sempena program Rewang Ramadan BSN yang diadakan di hadapan masjid Jamek Hashim Yahaya, Jalan Perak, Georgetown, Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam

GEORGETOWN: Bank Simpanan Nasional (BSN) Pulau Pinang mengagihkan 5,000 bungkus bubur lambuk percuma sempena program Rewang Ramadan BSN yang diadakan serentak di seluruh negara hari ini.

Pengarah Perniagaan BSN Pulau Pinang, Mazlan Mat Jalil, berkata 5,000 bungkus bubur lambuk itu diagihkan di lima masjid terpilih iaitu Masjid Hashim Yahaya di Jalan Perak, Masjid Jamek Teluk Kumbar, Masjid Nurul Iman di Nibong Tebal, Masjid Abu Bakar As Siddiq di Guar Perahu, dan Masjid Jamek Tasek Gelugor.

Beliau berkata, bubur lambuk itu dimasak sendiri secara bergotong-royong oleh kira-kira 100 orang kakitangannya bermula pada jam 10 pagi tadi.

"Inisiatif penganjuran program ini bukan hanya sekadar tangungjawab sosial korporat (CSR) semata-mata, tetapi lebih kepada untuk mengumpul amalan dan juga memeriahkan bulan Ramadan.

"Program ini juga adalah susulan kepada aktiviti pengagihan 40,000 nasi lemak percuma sempena ulang tahun BSN yang ke-40 pada Disember lalu," katanya ketika ditemui di perkarangan Masjid Hashim Yahaya di Jalan Perak, di sini, hari ini.

Program Rewang Ramadan BSN dijalankan serentak di seluruh negara membabitkan pengagihan 65,000 bungkus bubur lambuk di 65 masjid dan surau terpilih.

Berita Harian X