Rabu, 15 Jun 2016 | 10:37pm

Ezzaty, Azwan Kombos nikah 16 Julai


EZZATY dan Azwan Kombos mengadakan fotografi pra perkahwinan baru baru ini di Melaka.

KUALA LUMPUR: Mengambil berkat Syawal, pasangan pelakon Ezzaty Abdullah dan Azwan Kombos akan bernikah pada 16 Julai depan.

Memberitahu BH Online, Ezzaty berkata, majlis merisik berlangsung di kediaman keluarganya di Bentong, Pahang, Mac lalu.

"Persiapan untuk majlis perkahwinan hampir 100 peratus siap. Cuma ada beberapa masalah kecil seperti urusan kad kahwin dan baju kahwin yang masih diuruskan," katanya.

Ezzaty berkata, selepas berlangsungnya majlis merisik, ramai pihak mahu menaja perkahwinan mereka.

"Kami selektif dalam hal ini, tak mahu dan rasa tak seronok jika semuanya ditaja. Memang ada penaja tapi bukan 100 peratus. Kami pun kena fikir kos yang mereka akan keluarkan.

Ada tajaan itu yang kami bayar separuh. Macam baju kahwin, kawan Azwan sendiri iaitu Arief Shah yang akan sediakan," katanya.

Ezzaty memberitahu mereka akan diraikan pada sebelah pagi dalam satu majlis pernikahan dan diikuti dengan persandingan. Kedua majlis itu akan diadakan di Bentong Pahang.

Keesokannya, satu majlis resepsi akan diadakan di Kuala Lumpur. Pasangan ini juga sempat mengadakan sesi fotografi pra perkahwinan di sebuah pulau di Melaka.

"Untuk majlis di Sabah sebelah Azwan masih dalam perbincangan. Ibu Azwan mahu merealisasikannya.

"Saya pun sebenarnya teringin nak mengenakan busana suku kaum Bajau untuk majlis kahwin kami nanti," katanya.

26 dibaca
Berita Harian X