Rabu, 15 Jun 2016 | 5:58pm

2 pekerja balak alami cirit-birit, bukan sesat


CHAI Kin Soon (kanan) dan Kassim. - Foto Nazirul Roselan

JERANTUT: Dua pekerja balak di Hutan Tekai, di sini yang dikatakan sesat sebelum ini, ditemui pulang semula ke kawasan kongsi mereka kira-kira jam 10.15 pagi tadi.

Chai Kin Soon 66, dan Orang Asli dikenali sebagai Kassim 19, disangka hilang oleh rakan sekerja selepas memasuki hutan bagi mengukur balak sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Azid Ismail, berkata tujuh pekerja lain memasuki hutan terbabit kira-kira jam 7 pagi semalam bagi mencari kedua-dua rakan mereka namun mangsa gagal ditemui.

"Mereka hanya menemui sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki kedua-dua mangsa terletak di tepi jalan.

"Bagaimanapun, sebelum gerakan mencari dan menyelamat (SAR) diadakan pada jam 8 pagi, kedua-dua mangsa didapati pulang sendiri ke rumah kongsi.

"Hasil siasatan mendapati mereka tidak sesat, sebaliknya terpaksa bermalam dalam hutan selepas Kin Soon mengalami cirit-birit dan tidak dapat meneruskan perjalanan," katanya.

Beliau berkata, Kin Soon dihantar ke Hospital Jerantut untuk menerima rawatan lanjut manakala orang Asli yang bersamanya tidak mengalami kecederaan.

Azid berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut turut menubuhkan unit SAR diketuai Asisten Superintendan Mohd Rodzi Masa'at.

"Ia membabitkan 15 anggota polis dan dibantu seorang pegawai serta enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, lima anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Jerantut, 22 kakitangan Jabatan Perhilitan dan lima kakitangan Jabatan Perhutanan serta Unit K-9 Ibu Pejabat Kontinjen Pahang," katanya.

Berita Harian X