Rabu, 15 Jun 2016 | 3:46pm

Gregory Rabassa, penterjemah karya Gabriel Garcia meninggal dunia


PENTERJEMAH antarabangsa, Gregory Rabassa. - Foto AP

NEW YORK: Penterjemah antarabangsa, Gregory Rabassa yang 'memperkenalkan' sasterawan Amerika Latin kepada dunia khususnya pembaca dalam bahasa Inggeris, meninggal dunia di Branford, Connecticut, pada Isnin.

Antara pengarang yang 'dibawa' oleh Rabassa ke pentas kesusasteraan bahasa Inggeris ialah Penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan, Gabriel Garcia Marquez dan pengasas Generasi Boom Amerika Latin, Julio Cortazar.

Profesor itu yang lama berkhidmat di Kolej Queens College, meninggal pada usia 94 tahun di sebuah pusat jagaan hospis di Branford, menurut anaknya, Kate Rabassa Wallen.

Rabassa dianggap pintu masuk penting kepada Generasi Boom pada dekad 1960-an apabila pengarang seperti Marquez dan Cortazar, selain seorang lagi penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan, Mario Vargas Llosa dikenali dengan meluas pada pentas antarabangsa.

Beliau menterjemah novel Cortazar yang memulakan 'ledakan' generasi berkenaan, iaitu Hopscotch, sekali gus melayakkan Rabassa untuk merangkul Anugerah Buku Kebangsaan untuk terjemahan.

Penterjemah itu turut menterjemah karya Marquez yang dianggap memberikan definisi generasi Boom, iaitu One Hundred Years of Solitude yang menjadi mercu tanda kesusasteraan pada abad ke-20.

Novel itu diterjemahkan kepada 37 bahasa termasuk bahasa Melayu dengan judul Sumpah Tujuh Keturunan.

Marquez sering dipuji oleh Rabassa yang menganggap terjemahan Solitude sebagai karya seni pada kedudukan tersendiri.

"Beliau ibarat bapa kepada kami semua," kata Edith Grossman, iaitu penterjemah yang dipuji melalui buku Don Quixote dan beberapa karya Marquez kepada The Associated Press.

"Beliaulah yang memperkenalkan sastera Amerika Latin dengan cara yang serius kepada dunia pembaca bahasa Inggeris."

Terjemahan Rabassa lain termasuklah The Autumn of the Patriarch karya Garcia Marquez; Conversation in the Cathedral (Vargas Llosa) dan Captains of the Sand (Jorge Amado).

Pada 2001, Rabassa menerima anugerah pencapaian seumur hidup daripada PEN Amerika Tengah yang mengiktiraf sumbangannya dalam sastera Hispanik, selain menerima National Medal of Arts pada 2006 untuk usaha penterjemahan yang disifatkan sebagai 'meneruskan usaha menambah kefahaman kebudayaan dan memperkayakan kehidupan kita.'

Beliau meninggalkan seorang balu, Clementine; dua anak perempuan, Kate Rabassa Wallen dan Clara Rabassa serta cucu, Jennifer Wallen dan Sarah Wallen. - AP

Berita Harian X