Rabu, 15 Jun 2016 | 2:16pm

Elak gejala disiplin - Raja Muda Perlis


RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

SANDAKAN: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, menasihati generasi muda negara ini supaya tidak dibelenggu masalah disiplin yang boleh menghalang kecemerlangan diri.

Baginda bertitah, antara perlakuan yang menjadi punca kemerosotan disiplin ialah gejala ponteng.

"Laporan salah laku sekolah menunjukkan ponteng sekolah dan kelas adalah salah laku tertinggi peratusannya.

"Pelajar harus sedar ponteng tidak menjanjikan kebaikan dan keseronokan, malah mendatangkan keburukan," titah baginda pada Program Titian Kasih 2016 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Elopura di sini, pagi tadi.

Raja Muda Perlis, bertitah antara kesan negatif termasuk menjejaskan pembelajaran, merugikan diri, membazirkan waktu dan tenaga guru seterusnya mengaibkan maruah keluarga.

"Ia harus dipandang serius kerana ia ibarat 'virus' yang menjadi titik tolak permulaan salah laku lebih besar seperti vandalisme, gangsterisme, penyalahgunaan najis dadah, rempit dan pelbagai aktiviti tidak bermoral," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bersama delegasi Kerajaan Negeri Perlis dalam rangka lawatan ke Sabah sejak Isnin lalu.

Delegasi kemudian ke SMK Merpati, di sini bagi Program Titian Kasih 2016 di sekolah berkenaan.

Bertitah di SMK Merpati, Raja Muda Perlis mencadangkan pihak sekolah memberikan galakan membaca melalui pengkelasan topik penting.

"Pengkelasan topik ini bagi memudahkan pelajar memberi fokus terutama berkaitan mata pelajaran seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Kesusasteraan Melayu, Sains, Biologi, Geografi dan Sejarah.

"Malah pihak sekolah boleh mengadakan sesi pembacaan selama satu jam selepas waktu persekolahan dan boleh dilakukan dua kali seminggu yang membabitkan pelajar serta guru," titah baginda.

Berita Harian X