Rabu, 15 Jun 2016 | 12:12am
DENGAN imej bertudung, Sherry kini selektif termasuk menolak babak bersentuhan sesama bukan muhrim. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
BERHIJAB bukanlah penghalang untuk Sherry melakukan pelbagai perkara. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Ceramah Mufti Menk dorong Sherry Ibrahim berhijab


KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua bulan berhijab, pelakon dan penyanyi, Sherry Ibrahim, 33, mengaku hidupnya lebih tenang dan istiqamah.

Ditambah kedatangan Ramadan al Mubarak, Sherry makin selesa meniti hari apatah lagi mampu membahagiakan ibu bapa dengan penampilan baharunya itu.

Mengaku keputusan berhijab cukup mencabar dengan status dirinya sebagai selebriti, teman rapat kepada pelakon Fattah Amin itu bersyukur dikelilingi keluarga dan teman-teman yang memberi sokongan tidak berbelah bahagi.

"Tidak saya nafikan, mula-mula membuat keputusan berhijab, ia sangat mencabar. Apatah lagi pada minggu awal bertudung.

"Ketika itu, saya masih bersaing dalam program realiti Gempak Superstar. Jadi memang dalam hati timbul keraguan sebelum saya nekad berhijab.

"Pernah suatu ketika, pada jam dua pagi, saya melihat cermin dan termenung memikirkan apa yang akan berlaku. Saya memikirkan apakah mudah atau susah mencari rezeki dalam dunia hiburan dengan penampilan baharu ini," katanya kepada BH Plus.


SHERRY mengaku hidupnya kini lebih tenang selepas dua bulan berhijab. - Foto Munira Abdul Ghani

NEKAD berubah menjadi muslimah lebih baik, Sherry mula memaafkan semua insan di sekelilingnya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Tidak putus berdoa agar diberi hidayah, Sherry atau nama sebenarnya, Syarizad Ibrahim memberitahu, dia juga mendapat beberapa petunjuk yang akhirnya membulatkan tekad bertudung.

"Antara petunjuk awal adalah klip video yang dikongsi ibu yang memaparkan ceramah pendakwah, Mufti Menk melalui laman YouTube.

"Ibu beritahu tonton video itu. Satu perkara menarik yang saya peroleh melalui klip video itu adalah apabila kita sudah mempunyai perasaan untuk membuat perubahan, bererti masanya sudah tiba.

"Petanda itu tidak perlu dipersoalkan sebaliknya dikaji sebaik mungkin. Malah, sebelum itupun, saya rasa lebih tenang dalam setiap perkara yang dilakukan," katanya berkongsi pesanan pendakwah terbabit dalam rakaman video berkenaan.

Selain itu, kata Sherry, bapanya juga selalu memberi 'bayangan' meminta saya menutup aurat terutama sejak beliau pulang daripada mengerjakan ibudat Haji.

Nekad berubah menjadi muslimah lebih baik, Sherry mula memaafkan semua insan di sekelilingnya.

"Kalau ada rasa dendam dan benci terhadap seseorang, saya minta maaf dan pendek kata memaafkan semua.

"Saya teringat pada suatu malam, saya tutup lampu bilik dan menghantar mesej kepada adik-beradik dan ahli keluarga lain. Alhamdulillah, selepas itu nekad bertudung dan perasaan untuk berubah datang secara semula jadi," katanya.

gn4id:14230535


SELEPAS menyertai Gempak Superstar, Sherry mengaku banyak menerima tawaran membintangi drama dan telefilem. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Bakal rakam single berentak balada

Sherry menambah, berhijab bukanlah penghalang untuk dirinya melakukan pelbagai perkara.

"Bertudung bukan penghalang jika niat kita ikhlas dan baik. Saya tak anggap bertudung ini akan menyekat minat. Saya perlu mencari rezeki dengan menyertai dunia seni.

"Cuma saya perlu menjaga banyak hal termasuk soal berpakaian. Ia bukan fasa mudah, saya sedang membiasakan diri. Setiap hari menjadi proses pembelajaran bagi saya," katanya.

Selepas menyertai Gempak Superstar, Sherry mengaku banyak menerima tawaran membintangi drama dan telefilem.

"Cuma dengan imej bertudung, saya perlu selektif termasuk menolak babak bersentuhan sesama bukan muhrim," katanya yang akan berangkat ke Singapura, Ahad ini bertemu peminat dalam sebuah bazar di negara itu.


PERSEMBAHAN Sherry pada Konsert Gempak Superstar minggu pertama dengan tema bebas. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Sherry memberitahu, dia mula menerima jemputan daripada syarikat penerbitan di Singapura selepas kejayaan meraih gelaran Naib Juara dalam Gempak Superstar. Sherry tewas di tangan pelakon, Siti Elizad.

Mengulas rentetan kemenangan itu, Sherry berkata, dia dalam proses merakamkan single berentak balada, tidak lama lagi dan bakal dilancarkan selepas Aidilfitri.

"Akhirnya, saya berjaya menyahut cabaran meneruskan kerjaya sebagai penyanyi. Ketika berlakon lagi, memang bidang nyanyian saya mahu ceburi. Cuma peluang itu tak menyebelahi saya.

"Sekarang, saya perlu cari material terbaik untuk dirakam. Ada yang menyarankan saya menyanyi lagu balada dan peminat ramai memberi komen positif," katanya.

Berita Harian X