Selasa, 14 Jun 2016 | 10:49pm

Dua maut kereta bertembung

GERIK: Dua maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta yang bertembung di Kilometer 3, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu, mangsa maut dikenali sebagai Mhd Yusuf Che Mamin, 73, mati di tempat kejadian manakala seorang lagi, Zaleha Che Hussin, 55, mati sejurus dibawa ke Hospital Gerik.

Kedua-dua yang maut adalah penumpang kereta Proton Saga FLX yang datang dari arah Jeli, Kelantan bertembung dengan sebuah lagi kereta jenis Proton Saga Aeroback yang datang dari arah Gerik.

Kedua-dua mangsa berasal dari yang Kampung Jerangau, Tanah Merah, Kelantan Pemandu kereta berkenaan, Muhammad Zulfadzli Mohd Nasir, 23, cedera manakala anaknya, Muhammad Ammar Iman Muhammad Zulfadzli, setahun, yang cedera dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Turut cedera pemandu dari kereta Proton Saga Aeroback iaitu Muhammad Az-Zuhry Ahmad, 26, dan penumpang, Muhammad Azfar Ahmad, 23, yang kedua-duanya adalah pelajar beralamat di Taman Sri Kota, Alor Setar.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam IPD Gerik, Asisten Superintendan Muhd Zamzuri Mat Nawavi berkata, kejadian berlaku di jalan selekoh berhampiran Kem Tentera Kuala Rui, Gerik.

"Siasatan awal mendapati kereta Proton Saga FLX yang datang dari arah Jeli dipandu laju sebelum terbabas masuk ke sebelah kanan jalan dan bertembung dengan kereta Proton Saga Aeroback terbabit.

"Akibatnya, mangsa yang tersepit di tempat duduk sebelah pemandu mengalami kecederaan parah di bahagian tengkuk dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X