Selasa, 14 Jun 2016 | 7:24am

Polis, masyarakat perlu seiring cegah jenayah


Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan cenderahati kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun sempena majlis berbuka puasa IPD Sandakan, malam tadi.

SANDAKAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mencari jalan untuk memperkukuh jalinan kerjasama erat dengan masyarakat setempat, sebagai usaha membantu mencegah dan mengurangkan jenayah.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah ia penting kerana umum menyedari PDRM saja tidak berupaya membasmi keseluruhan kes jenayah secara bersendirian dan usaha itu lebih berkesan dengan pembabitan masyarakat setempat.

"Persoalan berkaitan undang-undang akan difahami dengan lebih jelas jika masyarakat mempunyai hubungan erat dengan polis.

"Kerjasama ini (polis dan masyarakat) mampu mewujudkan suasana harmoni, malah tindakan saling membantu dalam mencegah jenayah khususnya di kawasan perumahan.


Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersalam dengan anggota Unit Tindakan Khas (UTK).

"Penduduk juga tidak berasa bimbang meninggalkan kediaman. Jika masyarakat sedia menjadi 'mata dan telinga' pihak berkuasa, ia bukan saja membantu pengurangan jenayah, malah turut mempercepatkan penyelesaian kes," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis berbuka puasa di Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan, malam tadi.

Majlis berkenaan adalah antara pengisian program Jalinan Kasih Kerajaan Perlis di daerah ini yang bermula semalam.

Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Raja Muda Perlis yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, bertitah masyarakat harus menyahut seruan pihak berkuasa dalam aktiviti celik jenayah demi kepentingan bersama.

"Masyarakat yang prihatin dan aktif perlu mencari ruang menganjurkan aktiviti serta menanam kesedaran dalam kalangan mereka, mengenai kepentingan membasmi jenayah dan masalah sosial di kawasan masing-masing.

"Selain penubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT), peranan RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sewajarnya mempunyai hubungan erat dengan polis setempat untuk mengadakan rondaan secara lebih aktif," titah baginda.

Berita Harian X