Selasa, 14 Jun 2016 | 12:03am

Derma Organ

DERMA organ dan tisu mungkin tidak popular seperti menderma darah, namun manfaatnya besar dalam menyelamatkan nyawa.

Dunia perubatan sudah membuktikan pemindahan atau transplan organ mampu menyelamatkan dan memberi harapan baharu kepada pesakit yang mengalami kegagalan organ peringkat akhir, termasuk kegagalan jantung, paru-paru dan hati.

Pendermaan organ biasanya membabitkan jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang (ginjal), manakala pendermaan tisu ialah kornea, injap jantung, kulit, tulang, tendon, ligamen, arteri atau vena, amnion, sum-sum tulang dan sel stem.

Bagaimanapun, stigma terutamanya berkait dengan hukum hakam sering menjadi penghalang utama kepada orang ramai terutama yang beragama Islam untuk menderma organ dan tisu mereka.

Mungkin kerana kurang pendedahan atau tidak mahu mencari maklumat, ramai yang masih tidak tahu bahawa pemindahan organ adalah satu kaedah rawatan yang diharuskan dalam Islam dengan syarat tidak ada alternatif lain yang boleh menyelamatkan nyawa pesakit.

Kaedah rawatan ini juga diharuskan sekiranya tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada penerima organ atau penderma organ (sekiranya penderma masih hidup) dan ia perlu mendapat izin dan kebenaran penderma, bukannya secara paksa.

Selain itu, Islam juga mensyaratkan pendermaan organ perlu dilakukan secara ikhlas dengan niat untuk membantu orang lain semata-mata kerana Allah dan bukannya untuk tujuan mendapati ganjaran, habuan atau populariti.

Selain organ, tisu juga tidak boleh diperniagakan kerana Islam melihat jual beli organ dan tisu sebagai perkara yang haram.

Di Malaysia, hanya penderma yang meninggal dunia secara mati otak saja yang boleh mendermakan organ dan tisu, manakala penderma yang meninggal dunia secara biasa (jantung terhenti) hanya boleh mendermakan tisu.

Pembedahan pemindahan organ yang dijalankan oleh pasukan pakar bedah dan mereka akan memastikan tiada sebarang kecacatan kepada tubuh badan penderma kerana luka pembedahan akan dijahit dengan sempurna.

Pada masa ini, proses itu boleh dijalankan di kebanyakan hospital kerajaan dan swasta dan bagi individu yang meninggal di rumah, hanya pendermaan mata boleh dijalankan.

Sumber: Unit Perkhidmatan Transplan dan Pusat Sumber Transplan Nasional

58 dibaca
Berita Harian X