Isnin, 13 Jun 2016 | 7:14pm

Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS hari ini sejajar dengan pasaran ekuiti yang lemah termasuk dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran lain, kata peniaga.

Pada jam 5 petang, ringgit disebut harga pada 4.0890/0940 berbanding dolar AS daripada 4.0700/0760 pada hari Jumaat.

Seorang peniaga berkata, pasaran juga berada dalam keadaan kerisauan menjelang mesyuarat mengenai polisi oleh Rizab Persekutuan yang akan berlangsung selama dua hari mulai esok, mesyuarat ini akan menjadi fokus bagi pasaran mata wang asing dalam minggu ini serta menyediakan hala tuju kepada para peniaga.

"Lain-lain sentimen yang memburukkan prestasi mata wang negara membangun Asia termasuk ringgit adalah mengenai kebimbangan ke atas Brexit, yang akan terus menjejaskan pasaran pertukaran asing sehingga referendum UK pada 23 Jun ini," katanya.

Di pasaran tempatan, ringgit telah didagangkan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ia menurun berbanding dolar Singapura kepada 3.0110/0169 daripada 3.0004/0059 semasa Jumaat dan susut berbanding euro kepada 4.6083/6156 daripada 4.5987/6071 sebelum ini.

Berbanding yen, ia jatuh kepada 3.8572/8630 berbanding 3.8030/8104 pada hari Jumaat.

Ia, bagaimanapun, kukuh berbanding pound British kepada 5.7851/7938 dari 5.8767/8862 yang dicatatkan pada Jumaat. - BERNAMA

Berita Harian X