Isnin, 13 Jun 2016 | 5:57pm

Harga zakat fitrah Kelantan RM7

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menetapkan harga zakat fitrah untuk negeri Kelantan bagi tahun ini sebanyak RM7.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi, berkata seramai 628 amil sudah dilantik untuk memungut zakat fitrah yang terdiri daripada imam masjid di setiap mukim negeri Kelantan, pegawai agama di kem tentera, balai polis dan pusat tahanan.

"Dijangkakan kutipan zakat fitrah bagi tahun ini ialah RM8.2 juta berbanding RM8.1 juta pada tahun lalu.

"Bagi kutipan zakat harta pula, MAIK mensasarkan kutipan sebanyak RM161.8 juta berbanding RM153.7 juta kutipan sebenar tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

MAIK juga melantik Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) sebagai Bank Perolehan bagi melaksanakan fasiliti pembayaran melalui Merchant Pembayaran Portal Rasmi MAIK (e-zakat payment) di www.e-maik.my.

Perluasan kaedah pembayaran itu bertujuan memenuhi keperluan teknologi terkini iaitu menyediakan medium bayaran secara online yang mampu dilaksanakan melalui tiga pilihan bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Arab.

Katanya, operasi pungutan zakat turut diperluaskan ke kaunter pungutan zakat di seluruh daerah negeri Kelantan menerusi pembukaan kaunter mini pungutan zakat di masjid bandar seluruh daerah yang beroperasi pada waktu pejabat.

"Selain itu pembayaran juga boleh dilaksanakan di pejabat pos dan pasar raya utama negeri Kelantan iaitu KB Mall dan TESCO.

"Di samping itu, MAIK memberi kemudahan pembayaran kepada masyarakat melalui perkhidmatan Van Zakat Bergerak MAIK antaranya di tiga cawangan Universiti Malaysia Kelantan, Politeknik Kota Bharu dan Jeli, Wisma Persekutuan, pasar Siti Khadijah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Kota Bharu dan Machang, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kelantan serta Pejabat Setiausaha Kelantan (SUK)," katanya.

Berita Harian X