Ahad, 12 Jun 2016 | 8:14pm

PKR tidak pernah lupa - Nurul Izzah


NAIB Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar. - Foto Rosdan Wahid

SUNGAI BESAR: PKR tidak pernah melupakan apa yang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir lakukan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999 meskipun kini kedua-dua pihak bekerjasama menentang kerajaan Barisan Nasional (BN).

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar, berkata pihaknya tidak buta untuk menutup mata apa yang sudah berlaku sebelum ini, tetapi sesiapa saja boleh menyertai mereka dalam berjuang.

Katanya, ia asalkan masih berlandaskan agenda reformasi yang dibawa oleh PKR dan disokong oleh rakyat.

"Anwar kini dipenjarakan di bawah pentadbiran (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib Razak. Jadi bagi saya, kita sedang berdepan cabaran besar dan mengalu-alukan mana-mana bantuan dalam perjuangan ini.

"Tetapi dalam kes Mahathir, beliau sendiri yang mahu membantu dan bukannya PKR sendiri yang meminta bantuan beliau," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pakatan Harapan (PH), di sini, hari ini. Yang turut hadir Pengarah Strategik Parti Amanah Negara, Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini yang menyifatkan PKR sudah lupa dengan peristiwa yang berlaku kepada Anwar pada 1999 sehingga sanggup terima Dr Mahathir.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata, PH yang menentukan mengenai calon dan kempen dan bukannya Dr Mahathir, tetapi beliau sendiri yang mahu sertai dan memberi sokongan maka parti itu mengalu-alukannya.

"PH yang sentiasa menetapkan agenda berkempen tetapi Dr Mahathir hanya datang dan mengkritik mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Kami sentiasa menumpukan isu utama iaitu agenda pembaharuan tetapi tidak sama sekali akan melupakan apa yang terjadi kepada Anwar, namun kita perlu bergerak ke depan. Kita perlu ketepikan dendam dan fokus kepada perjuangan," katanya.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijangka hadir ke Sungai Besar dalam tempoh tiga hari lagi.

Katanya, perkara itu sedang diaturkan sendiri oleh beliau dan Mohamed Azmin akan hadir bersama-sama pemimpin lain seperti Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.

Berita Harian X