Ahad, 12 Jun 2016 | 8:04pm

CGC sasar lulus pembiayaan RM4 bilion

KUALA LUMPUR: Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) menyasar untuk meluluskan pembiayaan bernilai RM4 bilion dan 8,650 jaminan tahun ini dalam usaha memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

Pembiayaan itu disediakan melalui produk serta skim jaminan yang ditawarkan oleh agensi berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Zamree Mohd Ishak, berkata pihaknya akan terus menerokai peluang baharu dan mewujudkan lebih banyak pilihan pembiayaan inovatif bagi meningkatkan lagi perkhidmatan kepada usahawan PKS.

Katanya, menjadi keutamaan CGC untuk membantu PKS dengan menyediakan perlindungan jaminan kepada mereka yang tidak mempunyai cagaran atau rekod mencukupi mencukupi untuk mendapatkan kemudahan kredit daripada institusi kewangan.

"Penyediaan pembiayaan itu juga selaras dengan aspirasi kami untuk menjadi pilihan utama bagi PKS menjelang tahun 2020," katanya dalam kenyataan kepada BH, baru-baru ini.

Zamree berkata, institusi kewangan memainkan peranan penting dalam pembangunan PKS di negara ini, apatah lagi dalam mengharungi cabaran ekonomi semasa.

Justeru, katanya, CGC amat menghargai sokongan berterusan yang diberikan oleh institusi kewangan dalam mencapai objektif bersama.

"Perjanjian perkongsian strategik yang ditandatangani CGC bersama institusi kewangan telah memberi kesan besar kepada inisiatif jangkauan PKS kami dalam mendekati lebih ramai komuniti PKS di negara ini.

"Kejayaan bagi produk Jaminan Portfolio (PG) dan Jaminan Borong (WG) CGC juga membuktikan keupayaan kami dalam konteks peranan rakan kongsi yang inovatif dalam ekosistem PKS," katanya.

Zamree berkata, sepanjang tahun lalu, CGC meluluskan sebanyak 8,225 jaminan dan pembiayaan bernilai RM3.4 bilion yang memberi manfaat kepada perniagaan.

"Kebanyakan jaminan dan pembiayaan yang diluluskan adalah dari sektor perniagaan am, pembuatan dan pertanian," katanya.

Info:

* CGC ditubuhkan pada 5 Julai 1972

* 78.65 peratus kepentingannya dimiliki Bank Negara Malaysia dan 21.35 peratus oleh bank komersial di Malaysia.

* Sejak penubuhan, CGC menjamin lebih 437,000 pinjaman bernilai lebih RM59 bilion

Berita Harian X