Ahad, 12 Jun 2016 | 5:50pm

Kerajaan Oman nafi penduduk puasa hanya tiga jam


PENDUDUK Oman berbuka puasa di Muscat. - Foto AFP

MUSCAT: Kerajaan Oman, semalam menafikan laporan bahawa penduduk sebuah perkampungan di Wakan hanya berpuasa selama tiga jam dari 11 pagi sehingga 2.30 petang ketika Ramadan.

Menurut laporan, waktu siang di Wakan yang terletak 150 kilometer dari ibu negara, Muscat, adalah yang paling pendek di dunia, iaitu kira-kira 3.5 jam dan matahari terbit 2,000 meter di atas paras laut.

Bagaimanapun, Kementerian Kebajikan dan Hal Ehwal Agama Oman, dalam satu kenyataan berkata laporan itu tidak benar dan mengarut.

"Laporan itu tak betul, malah jika matahari sukar dilihat di kawasan pergunungan, bukan bermakna ia tidak terbit," kata pegawai kementerian itu kepada agensi berita Times Of Oman.

Bulan Ramadan bermula Isnin di Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara lain di seluruh dunia, manakala bagi India, Pakistan dan Iran, Ramadan iaitu bulan kesembilan dalam kalendar lunar Islam, bermula pada Selasa.

Majoriti umat Islam di seluruh dunia sedang berpuasa antara 13 hingga 19 jam setiap hari. - AGENSI

26 dibaca
Berita Harian X