Ahad, 12 Jun 2016 | 12:47pm

Pantai Cherating pilihan penyu agar, karah bertelur

KUANTAN: Pusat Penerangan dan Konservasi Penyu (PPKP) Cherating, dekat sini, merekodkan 262 pendaratan penyu agar dan karah di pantai Cherating yang menghasilkan sebanyak 24,204 telur sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 15,335 telur berjaya ditetaskan dan dilepaskan ke laut secara berperingkat selepas anak penyu mencapai usia dua hingga lima hari.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Datuk Adnan Hussain, berkata bagi tempoh lima bulan tahun ini, sebanyak 244 penyu agar dan karah mendarat di pantai berkenaan yang menghasilkan lebih 18,000 telur.

Beliau berkata, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan dan dijangka akan terus bertambah hingga akhir tahun ini walaupun negara berdepan perubahan cuaca seperti fenomena El Nino.

Katanya, jumlah tertinggi pendaratan penyu di Pantai Cherating yang pernah dicatatkan adalah pada tahun 2013 iaitu 516 ekor yang menghasilkan 43,720 telur dan daripada jumlah itu, sebanyak 31,612 telur berjaya ditetaskan.

"Sejak (PPKP) Cherating ditubuhkan pada tahun 1998, kejayaan menetaskan anak penyu jenis agar dan karah dicatat setiap tahun walaupun jumlahnya tidak menentu dalam tempoh 10 tahun sejak 2006 dengan jumlah terendah pendaratan direkodkan pada 2011 iaitu sebanyak 176 ekor dengan 15,924 telur.

"Kita juga mendapati, jumlah pendaratan penyu agar dan karah di Pantai Cherating akan meningkat setiap tiga tahun," katanya ditemui pada program lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif di PPKP Cherating, di sini, hari ini.

Pada program berkenaan, 200 anak penyu agar dilepaskan ke laut termasuk oleh pelancong dan kanak-kanak yang hadir pada program terbabit.

Adnan berkata, sejak ditubuhkan 18 tahun lalu, PPKP Cherating tidak pernah mencatat pendaratan penyu jenis belimbing kerana penyu spesies berkenaan hanya mendarat di Rantau Abang, Terengganu.

23 dibaca
Berita Harian X