Ahad, 12 Jun 2016 | 12:07am
OPERASI Grab masih diteruskan kerana tiada tindakan yang dilakukan oleh SPAD. - Muhd Asyraf Sawal

Kereta sapu "curi" penumpang balik kampung Aidilfitri


KUALA LUMPUR: Selepas mencetuskan kemarahan pemandu teksi, kereta sapu dalam talian kini menawarkan pengangkutan pulang ke kampung menggunakan konsep kongsi kenderaan sempena Aidilfitri ini.

Menerusi akses baru dalam aplikasi syarikat penyedia, kereta sapu itu kini membuka tempahan kepada sesiapa saja yang mahu pulang ke kampung, pada jarak perjalanan lebih 50 kilometer (km) di antara 25 Jun hingga 14 Julai ini.

Semakan BH menggunakan aplikasi yang tersedia, mendapati perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jitra sejauh 380 kilometer ditawarkan pada kadar tambang RM84 sehala, manakala ke Johor Bharu sejauh 300km pula RM67 sehala.


APLIKASI dalam talian yang digunakan oleh kereta sapu bagi perkhidmatan pulang ke kampung pada Aidilfitri ini.

TIMBALAN Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain. - Foto Hafiz Sohaimi

Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M), Kamarudin Mohd Hussain, menyalahkan kelemahan penguatkuasaan undang-undang oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan penangguhan keputusan Kementerian Pengangkutan membuatkan kereta sapu semakin keterlaluan.

"Mereka semakin melampau kerana tahu apa saja yang dibuat setakat ini, Kementerian Pengangkutan dan SPAD berdiam tanpa penguatkuasaan. Kereta sapu tanpa permit dibiarkan berleluasa dan sekarang iklankan satu servis baru lagi.

"Tak perlu pun mereka nak sorok-sorok sebab apa yang dibuat selama ini pun tidak menjadi masalah. Selepas (mencuri penumpang) teksi, kini mereka mula kacau (penumpang) bas ekspres pula tetapi SPAD terus berdiam juga. Saya tak tahu apa lagi yang akan mereka wujudkan.

"Tidakkah kementerian dan SPAD fikirkan keselamatan penumpang. Semua pengangkutan awam terutama untuk musim perayaan perlu lalui proses ketat untuk kurangkan kemalangan tetapi kereta sapu bebas berbuat apa saja tanpa perlu mohon sebarang kelulusan," katanya kepada BH.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA), Tajuddin Mohd Yunus, berkata industri bas ekspres sejak kebelakangan ini semakin tenat ekoran banyak persaingan dan kemunculan khidmat kereta sapu itu sekadar menambahkan sengsara mereka.

"Pada musim perayaan, adalah peluang kami untuk mendapat lebih penumpang tetapi kini ada pula yang mengganggu. Tidak ada masalah jika mereka dilesenkan tetapi isunya, mereka beroperasi secara haram, kenapa dibiarkan.

"Jangan jadikan alasan kekurangan pengangkutan untuk pulang ketika musim perayaan kerana setiap tahun banyak bas tambahan yang kosong tanpa penumpang. Saya jamin, khidmat bas cukup tanpa perlu ada perkhidmatan kereta sapu ini.

"Bagi saya mudah saja, jika pengusaha bas buat salah, pelbagai tindakan dikenakan terhadap kami tetapi kenapa sesuatu perkhidmatan yang salah ini (kereta sapu) boleh terus dibiarkan beroperasi secara bebas," katanya.


TIMBALAN Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi. - Foto Abdullah Yusof

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, ketika mengulas tawaran baru kereta sapu terbabit, hanya mengulangi peringatan, sebarang perkhidmatan pengangkutan yang mahu mengenakan tambang dan membabitkan transaksi perlu mendapatkan kebenaran SPAD terlebih dulu.

"Apa yang saya lihat, perkhidmatan sebegini tidak wajar dibiarkan tetapi tentu ada juga keperluannya kepada penumpang. Musim perayaan, selalunya pengangkutan awam tak cukup. Namun, perlu ikut prosedur. Mohon dulu dengan SPAD.

"Jika tidak ada permit, jangan berani tawarkan apa-apa perkhidmatan kerana ia membabitkan pelanggaran undang-undang. SPAD perlu lihat situasi ini segera," katanya.

Jurucakap syarikat kereta sapu terbabit, ketika dihubungi mempertahankan tindakan mereka menyediakan khidmat itu kerana mendakwa tidak melanggar undang-undang, sebaliknya menawarkan konsep perkongsian kereta sebagai manfaat kepada pengguna.

Katanya, sejak bulan lalu, syarikat itu sudah menawarkan khidmat kongsi kereta kepada pengguna sekitar Lembah Klang.

"Setakat ini SPAD tidak kata apa-apa. Kami tidak nampak sebarang kesalahan dalam perkhidmatan ini kerana ia hanya perkongsian kereta, cuma pemandu perlu berdaftar dengan kami untuk memudahkan mereka yang mahu mendapatkan penumpang ke lokasi sama.

"Hal keselamatan pemandu dan penumpang juga kami jaga kerana syarikat kami ada insuran sendiri. Jika berlaku apa-apa ketika dalam perkhidmatan ini, kami akan bantu dapatkan insuran bagi mereka," katanya.


JURUCAKAP Grab Malaysia mempertahankan tindakan mereka sebagai tidak melanggar undang-undang kerana hanya menawarkan konsep perkongsian kereta sebagai manfaat kepada pengguna. - Foto hiasan

INFO:

  • Kereta sapu guna konsep kongsi kereta ke destinasi berdekatan
  • Tarikh perjalanan 25 Jun hingga 14 Julai
  • 50 km - jarak minimum
  • RM84 - Tambang dari KL ke Jitra (Bas Ekspres - RM52)
  • RM67 - Tambang dari KL ke JB (Bas Ekspres - RM40)
  • RM500 - Sewaan teksi Proton Exora (TEKS1M - 6 penumpang) dari KL - Jitra
Berita Harian X