Sabtu, 11 Jun 2016 | 5:07pm

FAM gantung Wan Zaharulnizam 5 perlawanan, denda RM2,000

KUALA LUMPUR: Pemain sayap Kelantan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dikenakan hukuman penggantungan lima perlawanan dan denda RM2,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini.

Hukuman itu diputuskan Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas Wan Zaharulnizam didapati bersalah berkelakuan ganas terhadap pemain Selangor ketika perlawanan Liga Super 2016 pada 21 Mei lalu.

Akibat daripada penggantungan itu, Wan Zaharulnizam tidak boleh diturunkan bermula perlawanan menentang Terengganu pada 15 Julai dan seterusnya berdepan Pahang (23 Julai), Johor Darul Ta'zim (26 Julai), FELDA United (3 Ogos) dan T-Team (6 Ogos).

Selain itu, Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur di denda RM15,000 dan diberi amaran keras berikutan kekecohan penyokong yang berlaku di Stadium Majlis Perbandaran Selayang ketika perlawanan antara Kuala Lumpur dan Perak pada 1 April lalu.

Persatuan berkenaan didapati bersalah kerana melanggar 'Artikel 68 (e) Kod Tatatertib FAM 2015' berkenaan 'Penganjuran Perlawanan' dan dibaca bersama dengan Artikel 69.2 Kod Tatatertib FAM 2015.

Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) pula hanya diberikan amaran keras selepas penyokong mereka didapati bersalah melontar objek ketika dan selepas perlawanan berkenaan.

Jawatankuasa Tatatertib turut mengenakan denda sebanyak RM7,500 ke atas Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah kerana tidak menghormati keputusan Jawatankuasa Status FAM bertarikh 7 Mac 2016 untuk menjelaskan bayaran tunggakan gaji bulanan kepada lima pegawai termasuk Ahmad Sobri Ismail, Hussin Jaafar, Zulkipli Mahmud, Izham Mustafa dan Abdullah Hassan.

Majlis Sukan India Malaysia (MISC-MIFA) pula didenda sebanyak RM1,500 selepas turut didapati tidak menghormati keputusan jawatankuasa berkenaan bertarikh 5 Januari untuk menjelaskan bayaran tunggakan gaji bulanan kepada pemainnya, L Rajesh.

Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah dan MISC-MIFA diberi tempoh sehingga 30 Jun untuk menjelaskan kesemua jumlah tunggakan itu.

Berita Harian X