Sabtu, 11 Jun 2016 | 3:48pm

Azmil ikut jejak Black tinggalkan Monkey Bone


ARTIS, Azmil Karim. - Foto Nazran Jamel

KUALA LUMPUR: Selepas penyanyi Black Hanifah menyatakan hasrat untuk menguruskan kerjayanya sendiri selepas kontrak bersama Monkey Bone tamat, jejaknya itu bakal dituruti bakat yang dicungkil menerusi program realiti Mentor Legend, Azmil Karim.

Azmil yang hampir dua tahun bernaung dengan Monkey Bone, berkata sebaik saja kontraknya bersama label itu tamat pada Ogos depan, dirinya akan menyertai Indigital Music.

"Keputusan itu dibuat bukan kerana ada masalah dalaman atau disebabkan tidak berpuas hati. Saya sekadar mahu beralih angin. Lagipun saya dan Indigital Music bukan lagi asing kerana sejak menyertai Mentor Legend lagi, mereka banyak membantu perjalanan kerjaya seni saya," katanya.

Azmil ditemui pada majlis pelancaran tudung jenama Dayang yang diadakan di Kuala Lumpur, kelmarin. Bekas protege kepada Dayang Nurfaizah ini memaklumkan, bakal muncul dengan single terbaharu, Jam 5 sebelum kontraknya bersama Monkey Bone berakhir.

"Lagu ini berentak rancak dan berbeza daripada dua single terdahulu. Saya juga akan merakamkan muzik video lagu ini pada bulan puasa namun susunan muziknya digubah dalam bentuk akustik," katanya yang turut menubuhkan syarikat pengurusannya sendiri iaitu Azmil Karim Entertainment.

Berita Harian X