Sabtu, 11 Jun 2016 | 3:28pm

'Pinggiran Syurga' buat Papa - Wan Imar Izzat


KUALA KANGSAR: Tayangan klip video lagu berjudul 'Pinggiran Syurga' nyanyian Wan Imar Izzat khas buat bapanya, Allahyarham Wan Mohammad Khair-ril Anuar Wan Ahmad, mendatangkan kesan mendalam dan menimbulkan kesayuan kepada hadirin yang menontonnya, hari ini.

Klip video yang julung kali dipertontonkan kepada umum pada Program BN Youth Job & Career Fair 2016 di sini sebentar tadi, memaparkan Wan Imar Izzat, 25, menyanyi sambil bermain piano.

Liriknya sarat dengan kerinduan anak, antaranya "Oh Tuhan, beri aku kekuatan mendengar rintihan ibuku berdoa", manakala paparan gambar Allahyarham bersama keluarga termasuk isteri yang juga calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid, turun menjadikan suasana sepi seketika.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, turut menyaksikan klip video yang dihasilkan Wan Imar Izzat bersama KRU Studios Sdn Bhd diterajui Datuk Norman Abdul Halim.

Klip video lagu itu ditayangkan sejurus sebelum majlis berakhir.

Wan Imar Izzat dalam sidang medianya selepas itu berkata, lagu dengan lirik berunsurkan doa itu ditujukan khas buat bapanya sempena sambutan Hari Bapa pada 18 Jun ini.

"Dua bulan sebelum nahas helikopter di Sarawak, Papa meminta bantuan Norman melakukan uji bakat buat saya kerana saya minat muzik.

"Apabila tragedi itu berlaku, kami rancang buat lagu khas untuk arwah sempena Hari Bapa pada 18 Jun ini.

"Ibu, abang dan adik saya turut sebak melihat klip video ini kerana banyak memori antara kami," katanya.

Sementara itu, Norman berkata, Allahyarham Wan Mohammad Khair-ril menghubunginya dua bulan sebelum nahas itu.

"Saya melakukan uji bakat dan mencari lagu sesuai buat Wan Imar, namun proses itu terhenti apabila nahas berkenaan berlaku.

"Selepas Wan Imar bersedia, kami hasilkan lagu dan klip video berkenaan dalam tempoh tiga minggu.

"Allahyarham adalah seorang sahabat dan bila keluar lagu ini bermakna saya tunaikan hajat Allahyarham serta apa yang diwasiatkan kepada saya," katanya.

Zambry berkata, klip video itu tiada kena-mengena dengan kempen pilihan raya, sebaliknya ilham Allahyarham Wan Mohammad Khair-il yang mengesan bakal anaknya.


TAYANGAN klip video lagu berjudul 'Pinggiran Syurga' nyanyian Wan Imar Izzat khas buat bapanya, Allahyarham Wan Mohammad Khair-ril Anuar Wan Ahmad pada Program BN Youth Job & Career Fair 2016 di Kuala Kangsar, sebentar tadi. - Foto Sairien Nafis
Berita Harian X