Sabtu, 11 Jun 2016 | 1:50pm

300 penduduk Pasir Gudang terima sumbangan


MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan sumbangan kepada orang ramai di Dewan Serbaguna Taman Nusa Damai , Pasir Gudang.

PASIR GUDANG: Seramai 300 golongan kurang berkemampuan di Parlimen Pasir Gudang, dekat sini menerima sumbangan Ramadan dan bantuan Aidilfitri anjuran Yayasan Pasir Gudang, di sini hari ini.

Majlis di Dewan Serbaguna Taman Nusa Damai di sini, disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merangkap Pengerusi Yayasan Pasir Gudang.

Dalam ucapannya, Mohamed Khaled, berkata Yayasan Pasir Gudang memperuntukkan kira-kira RM100,000 bagi program berkenaan, membabitkan 244 penerima bantuan dalam kalangan masyarakat Melayu, Cina (23), India (22), manakala Sabah dan Sarawak (11).

Katanya, bantuan disampaikan merangkumi wang tunai RM100 dan barangan keperluan asas bernilai RM100, membabitkan golongan penduduk di 11 zon dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini.

"Seiring semangat Muafakat Johor, bantuan ini disampaikan kepada semua tanpa mengira bangsa atau agama bagi membantu mengurangkan beban mereka meneruskan kehidupan.

"Pada masa sama, ini antara usaha berterusan kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam membawa kesejahteraan kepada rakyat dengan memahami keperluan mereka," katanya.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri turut menggalakkan sektor swasta menjalinkan kerjasama bersama pihak yayasan yang diwujudkan di setiap PBT di Johor bagi meneruskan pelbagai program kepada masyarakat.

Berita Harian X