Sabtu, 11 Jun 2016 | 6:29am

Peluang jadi usahawan segera

PELBAGAI kuih-muih yang dijual di Azhar Food Supplier di Batu Pahat.

RAMADAN masa sesuai untuk wanita menceburi bidang perniagaan, dengan menjadi pengedar kuih-muih tradisi bagi memenuhi permintaan umat Islam sambut Aidilfitri.

Tidak kira sama ada wanita yang tinggal di sekitar Batu Pahat atau di luar daerah, boleh membeli pelbagai aneka kuih-muih secara pukal untuk memulakan jualan.

Niat mereka boleh direalisasikan kerana pengeluar, pemborong, pengedar dan pengimport pelbagai jenis kerepek, biskut raya, kuih tradisi serta makanan ringan terkenal, Azhar Food Supplier, mengadakan jualan mega raya untuk tahun ini.

Pemilik dan Pengarah Urusannya, Mariam Boon, 50, berkata semua produk yang ditawarkan pada harga kompetitif, manakala harga kilang bagi pembelian pukal.

Beliau yang juga penerima Anugerah Khas Perdana Menteri pada 2013 atas kecemerlangan membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Johor, mempelawa pelanggan supaya membuat tempahan segera jika ingin membeli secara pukal bagi memastikan stok mencukupi dan tidak kehabisan.

"Waktu puncak perniagaan kami adalah pada setiap hujung minggu apabila lebih 10 bas persiaran dan ekspres sewa khas, termasuk dari Singapura sehingga Pulau Pinang membawa pelanggan yang ingin membeli produk di sini dan dijangka kesesakan berlaku di premis kami," katanya kepada BH.

Tarikan produk baharu

Mariam berkata, antara produk baharu yang dihasilkan kilangnya dan dijangka mendapat sambutan pelanggan kali ini ialah samosa cheese dan kerepek ubi dengan pilihan sembilan perasa istimewa.

"Tahun ini kami menyokong dan memasarkan produk berkualiti rakan pengusaha PKS khususnya di Batu Pahat, Pontian dan Johor.

"Hampir 70 jenis biskut raya, 30 jenis kuih tradisi termasuk pelbagai jenis kek lapis, kek gulung serta kek coklat dan bakinya variasi kerepek dari harga RM10 sehingga RM28 berdasarkan kualiti produk," katanya.

Berita Harian X