Sabtu, 11 Jun 2016 | 12:02am

Tambah nutrisi Chicken Chop dengan makanan sunnah


CHICKEN Chop Habatussauda di Restoran Warm-Warm Chicken Chop. - Foto Adi Safri

HARI ini, masyarakat perlu mengakui, hidangan Chicken Chop semakin mendapat tempat dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat.

Hidangan Barat itu bukan lagi sekadar menjadi pilihan orang kebanyakan.

Siapa mampu menepis keenakan hidangan chicken chop yang panas dan dilimpahi sos mewah dengan rasanya yang asli untuk dinikmati bersama keluarga.

Namun, apa kata anda menyediakan sendiri hidangan chicken chop itu kerana ia lebih menjimatkan dan pastinya ia lebih memberikan kepuasan apabila dapat menyajikan makanan daripada air tangan sendiri.

Tidak sukar menyediakan hidangan digemari ramai itu, malah hanya dengan anggaran masa lapan minit, ia sudah boleh tersedia di depan mata.


PEMILIK bersama Restoran Warm-Warm Chicken Chop, Wan Mohd Haidzar Wan Puteh (kiri) dan Rosniza Zainal. - Foto Adi Safri

Bahan campuran istimewa

Sememangnya, kedengaran agak mustahil, namun jika anda mempunyai tempat pemanggang, mungkin boleh mencuba resipi yang dikongsikan oleh pemilik bersama dan juga cef dari Restoran Warm Warm Chicken Chop, Wan Mohd Haidzar Wan Puteh.

Menariknya mengenai resipi ini, ia bukan saja mudah tetapi turut menggunakan bahan campuran sunnah seperti habatussauda, cuka epal dan minyak zaitun. Semua bahan itu adalah 'rahsia' yang menyebabkan resipi Wan Mohd Haizar cukup istimewa dan lain dari yang lain.

Penggunaan makanan sunnah itu juga memberikan tambahan pengambilan nutrisi yang elok untuk kesihatan tubuh.

Minggu ini, AURA mengetengahkan langkah demi langkah, penyediaan chicken chop istimewa untuk anda cuba di rumah.


BAHAN-bahan untuk membuat Chicken Chop Habatussauda. - Foto Adi Safri

Bahan-bahan:

* 1 belahan daging ayam

* 1 biji telur, dipukul

* 1/2 gelas kecil air masak

* 1 sudu teh habatussauda

* 1 sudu teh serbuk perasa

* 2 sudu besar tepung gandum

* 1 sudu teh serbuk roti

Cara membuatnya;

1) Celup daging ayam dengan tepung gandum di kedua bahagian.

2) Taburkan serbuk perencah rasa di kedua-dua bahagian.

3) Celup sebelah bahagian daging tidak berkulit ke dalam telur yang sudah dipukul tadi.

4) Taburkan habatussauda dan serbuk roti di kedua-dua bahagian daging ayam itu.

5) Panggang daging ayam selama enam minit hingga ia menjadi kekuningan.

6) Siap untuk dihidangkan bersama kentang dan sos.


CHICKEN Chop Habatussauda di Restoran Warm-Warm Chicken Chop. - Foto Adi Safri

Berita Harian X