Jumaat, 10 Jun 2016 | 11:58pm

Wan Imar dedikasi lagu doa buat arwah ayah


GAMBAR kenangan Wan Imar bersama arwah ayah ketika kecil.

KUALA LUMPUR: Wan Imar Izzat, 25, anak bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad mencipta lagu istimewa berbentuk doa buat ayah tercinta.

Wan Imar yang disunting KRU Music sejak pertengahan bulan lalu, memberitahu BH Online, lagu Pinggiran Syurga ciptaan bersama dengan Edry Abdul Halim, antara lain menceritakan emosi yang dilalui mereka sekeluarga selepas pemergian Allahyarham.

Wan Imar berkata, beliau diperkenalkan dengan pemilik empayar KRU, Datuk Norman oleh arwah ayahnya yang menyedari minatnya dalam bidang muzik.

"Abang Norman kemudian mengajak saya membuat uji bakat di KRU. Tetapi, selepas berlakunya nahas mengorbankan ayah, saya fikir niat untuk membuat lagu ini lebih perlu dan tepat.

"Saya tidak boleh cari sebab kenapa saya perlu menangguhkan projek ini," katanya yang menganggap lamaran KRU Music sebagai peluang keemasan untuk menceburi bidang nyanyian secara serius.

Wan Imar berkata, sejak kecil dia sudah berkecimpung dalam bidang muzik dengan menyertai kelas piano dan dram.


WAN Imar pada hari pertunangan Shalma Aaina pada 10 April lalu.

"Saya belajar gitar atas usaha sendiri ketika di bangku sekolah. Bagi saya, muzik mampu menjadi senjata berkuasa untuk mengekspresi diri," katanya.

Wan Imar yakin sekarang adalah masa yang tepat untuk melancarkan single istimewa untuk arwah ayah.

"Saya menjanjikan sesuatu yang berbeza dengan kreativiti yang cuba ditampilkan," katanya.

Projek single Pinggiran Syurga dicipta khas sempena Hari Bapa yang bakal tiba.

Wan Imar mengikat tali pertunangan dengan pengacara, Shalma Aaina pada 10 April lalu.

Berita Harian X