Jumaat, 10 Jun 2016 | 6:56pm

HSBC, MIDA jalin kerjasama tarik pelaburan ke Malaysia


AZMAN (kiri) memerhatikan Peter Wong (tengah) dan Mukhtar menandatangani MoU di Kuala Lumpur. - Foto ihsan HSBC

KUALA LUMPUR: HSBC Bank Malaysia Bhd dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha membantu Malaysia menarik lebih banyak pelaburan global.

Menerusi MoU itu, HSBC Malaysia akan bekerjasama MIDA dalam menyediakan khidmat nasihat dan perkhidmatan perbankan lain kepada syarikat multinasional yang berada di bawah bidang kuasa MIDA, selain meninjau peluang mengembangkan perniagaan atau memasuki pasaran di Malaysia.

Syarikat multinasional akan dapat menggunakan kepakaran perbankan dan keupayaan HSBC dalam perdagangan merentasi sempadan serta kemudahan pelaburan.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud, berkata kerjasama itu adalah satu model terpuji bagaimana kerajaan dan sektor swasta dapat bekerjasama dalam mencapai matlamat yang sama.

"Usaha yang dilaksanakan HSBC dengan menjalinkan kerjasama dengan MIDA untuk menarik pelaburan ke negara ini, mencerminkan keyakinan bahawa Malaysia menjadi sebagai lokasi pelaburan menguntungkan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Mukhtar Hussain, berkata perkongsian antara dua entiti itu adalah satu langkah penting ke arah memastikan kemajuan ekonomi yang mampan.

Katanya, ini kerana kerjasama seumpama itu melengkapi matlamat MIDA untuk merangsang persekitaran pelaburan yang berkesan di Malaysia.

Selain itu, beliau berkata, HSBC Malaysia akan dapat menyediakan pelabur dengan bimbingan kepakaran dan perbankan yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan atau memasuki pasaran Malaysia.

"Dengan kedudukan kukuh kami di Malaysia sebagai bank asing terkemuka selain rangkaian antarabangsa yang kukuh, ia dapat membantu pelabur berjaya dalam pasaran baharu muncul seperti Malaysia.

"Saya percaya kerjasama seumpama ini mampu menarik lebih banyak pelaburan global ke negara ini," katanya. Tahun lalu, Malaysia menarik pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM36.1 bilion.

Pada majlis MoU itu, MIDA diwakili Azman, manakala HSBC Malaysia diwakili Mukhtar. Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Koordinasi Pelaburan Asing MIDA, Mohd Riduan Abd Rahman dan Ketua Eksekutif HSBC Asia Pasifik, Peter Wong.

Berita Harian X