Jumaat, 10 Jun 2016 | 12:01am
Laut Mati di sempadan Jordan.

Rahsia dan khasiat di sebalik rawatan lumpur


RAWATAN lumpur miliki pelbagai manfaat untuk kecantikan, penyembuhan tubuh.

PUPUR antara rejim yang mesti ada bagi rutin kecantikan individu. Prinsip mengenakan pupur bertujuan memisahkan udara dan pencemaran daripada kulit buat sementara waktu, justeru ia perlu diratakan ke seluruh wajah dalam tempoh tertentu.

Kandungan air yang tinggi dalam pupur, berfungsi menembusi lapisan epidermis kulit, sekali gus membantu melembutkan tekstur dan meningkatkan tahap keanjalannya.

Lantaran, ia disarankan mesti ada dalam rutin kecantikan dan wajar dilakukan sekurang-kurangnya dua kali seminggu untuk berfungsi dengan baik.


MINERAL dalam lumpur berupaya untuk mempertingkatkan kecantikan dan kesihatan tubuh.

Ada pelbagai jenis pupur, antaranya pupur lumpur yang mengandungi bahan organik di dalamnya. Pupur lumpur terdiri daripada tanah, debu, tanah liat dan air yang kaya dengan vitamin serta mineral, ini menjadikan ia sesuai dengan banyak jenis kulit.

Meskipun, banyak yang mengatakan lumpur kotor dan menjijikkan, ternyata lumpur memiliki manfaat tersendiri bagi dunia kecantikan dan kesihatan.

Justeru, tidak hairan kini banyak salun kecantikan menyediakan perawatan pupur menggunakan bahan berasaskan lumpur.

Namun, bukan sebarang lumpur kecuali dari Laut Mati atau yang berasal dari gunung berapi yang kaya dengan mineral.

Ikut lokasi

Hakikatnya, setiap lumpur memiliki manfaat berbeza mengikut lokasi seperti dari dalam laut atau gunung berapi, boleh dimanfaatkan bagi fungsi kecantikan atau untuk unsur penyembuhan tubuh.

Namun, dalam dunia kecantikan, lumpur digemari kerana sifatnya yang kering dan mengeras apabila digunakan. Selepas dipupur dan dibersihkan, kulit wajah ketara terasa segar.

Ahli dermatologi dari Amerika, Dr. Makala Anders, mengatakan, mineral yang terkandung di dalam lumpur dapat stimulasi sel kulit sehingga kulit menjadi bercahaya. Hinggakan, ada yang rela mandi dengan lumpur demi alasan kecantikan.

Pupur lumpur juga dikatakan, pelembap wajah semula jadi yang membuat kulit terasa lebih anjal dan sihat. Kandungan di dalam lumpur menyerap hingga ke pori-pori kulit dan membuat wajah tidak berminyak.

Selain itu, apabila lumpur digunakan sebagai pupur, perlahan-lahan teksturnya akan mengering sehingga mudah untuk ditanggalkan. Saat itulah lumpur akan mengelupas sel kulit mati sehingga kulit menjadi lebih cerah.

Manfaat lain lumpur ialah dapat membantu mengurangi noda kemerahan pada wajah.

Lumpur terbaik

Dalam kebanyakan pupur lumpur, lumpur Laut Mati antara terbaik di dunia. Kandungan mineral yang tinggi termasuk magnesium, kalsium dan sisa organik daripada tumbuh-tumbuhan antara punca utama ia berwarna hitam pekat.


LAUT mati antara lokasi lumpur terbaik dunia.

Sungguhpun ia dikatakan agak berbau kurang enak, manfaatnya kepada peningkatan oksigen dalam sel kulit menjadikan ia antara lumpur termahal di dunia.

Pupur lumpur dari Multani Mitti, India pula sering dimanfaatkan orang ramai untuk menyejukkan kulit, khususnya dalam musim panas. Sensasi sejuk itu juga sebab ia popular sebagai bahan dalam pupur wajah.

Lumpur jenis penyembuhan yang memiliki fungsi mengeluarkan racun dalam kulit dikatakan, boleh didapati di Wilayah Moor Austria.

Menariknya, lumpur di sini dikatakan tidak berbau, besar kemungkinan kerana ia terhasil daripada gambut Austria yang memiliki ekstrak pelbagai jenis tumbuhan.

Sementara itu, lumpur dari danau Great Salt di Utah, Amerika Syarikat antara lokasi digemari untuk berendam sambil memakai pupur lumpur di dalamnya.

Air di sini, lebih likat sehingga sepuluh kali lebih pekat daripada air laut biasa, antara tanda ia memiliki garamnya tinggi, sekali gus berupaya merawat penyakit berkaitan kulit.

Lumpur gunung berapi

Daerah Calistoga, California pula amat sinonim dengan lokasi orang memanfaatkan pupur lumpur untuk proses penyembuhan tubuh termasuk meredakan sakit otot, mengurangkan tekanan sendi dan memperhaluskan kulit.


LUMPUR kaya mineral.

Kombinasi dari tanah liat, gambut dan air mineral dalam lumpur panas ini antara sebab tradisi mandi lumpur bukan sesuatu yang asing di Calistoga. Malah, ia diamalkan sejak ratusan tahun oleh suku Indian Maya.

Keunikan Calistoga kerana ia terbentuk dari serangkaian letusan gunung berapi dua hingga enam juta tahun lalu. Kombinasi air mineral dari mata air setempat serta abu vulkano dari Gunung St Helena antara komponen terbaik di dalamnya.

Begitu juga pulau gunung berapi Ischia, Itali, dikatakan memiliki natrium, klorin, kalium, kalsium dan sulfur yang memberi manfaat besar dalam mengubati sakit kulit, masalah pernafasan serta masalah pencernaan.

INFO:

Pupur lumpur

- Pupur lumpur dipercayai diamalkan oleh kaum Romawi sejak 120 sebelum masihi.

- Membantu menyeimbangkan suhu kulit pada zon wajah, membuka liang roma untuk memudahkan pembersihan pori tersumbat.

- Meningkatkan tahap metabolisme sel kulit dan menggalakkan rembesan kelenjar peluh agar ia dapat meningkatkan lagi kandungan oksigen pada kulit.

Lokasi lumpur terbaik dunia
- Lumpur Laut Mati di sempadan Jordan
- Lumpur Moor, Hungry
- Lumpur gunung berapi Calistoga, California
- Lumpur Great Salt, Utah, Amerika Syarikat
- Lumpur Ischia, Itali sekitar Teluk Napoli Itali.
- Lumpur Bad Wilsnack, Jerman
- Lumpur Multani Mitti, India.

117 dibaca
Berita Harian X