Khamis, 9 Jun 2016 | 10:05pm

Ecah gembira jumpa PM


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra bersama Siti Nuraisyah Shahrin, 13 yang kehilangan kakinya akibat digilis lori di Masjid Al Mukmin, Tali Air 12, Sungai Nibong. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

SUNGAI PANJANG: Siti Nuraisyah Sahrin, pelajar berusia 13 tahun yang putus kedua-duanya belah kakinya selepas digilis sebuah lori dalam kemalangan pada 18 Januari lalu, gembira dapat bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, malam tadi.

Pertemuan itu berlangsung kira-kira 10 minit di pekarangan Masjid Al-Mukmin, Jalan Tali Air 12, Sungai Nibong, selepas Najib selesai menunaikan solat sunat tarawih.

Nuraisyah atau mesra dipanggil dengan nama Ecah, ketika ditemui pemberita, berkata Perdana Menteri ada berjanji kepadanya untuk membeli alat muzik dram selepas pemimpin negara itu mengetahui minatnya dalam bidang muzik.

"Saya agak gugup tapi gembira kerana Perdana Menteri sendiri datang berjumpa saya," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang pada 18 Januari lalu, Ecah yang membonceng motosikal Honda EX-5 ditunggang kakak tirinya, Syahmin Amira Roslan, 14, terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah.

Remaja berkenaan yang terjatuh di atas jalan raya selepas motosikal itu bergesel dengan sebuah kereta, tidak sempat bangun sebelum digilis sebuah lori sehingga menyebabkan kedua-dua belah kakinya putus.

Berita Harian X