Khamis, 9 Jun 2016 | 12:04am

Dakwah ibu bapa perlu berhemah, jangan biadap

SOALAN: Apakah perkara yang patut dilakukan seorang anak jika bapanya yang usia hampir mencecah 50 tahun malas melakukan suruhan Allah seperti mengerjakan solat, puasa dan sebagainya. Apakah keupayaan seorang anak apabila menghadapi situasi sebegini selain memanjatkan doa ke hadrat Ilahi supaya dibukakan pintu hati bapanya.

JAWAPAN: Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan Allah semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya telah menjangkau umur tua, maka mereka mestilah dalam jagaanmu.

Oleh sebab itu janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'Hah' dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (bersopan santun)." (Surah Isra', ayat 23)

Ayat ini secara jelas mengharamkan anak berkelakuan kasar dan biadap terhadap kedua-dua ibu bapa mereka, walaupun mereka berlainan agama, cara hidup dan fasik. Begitulah juga jika mereka tidak solat dan seumpamanya.


SIFAT hormat-menghormati perlu ditingkatkan apabila mendekati ibu bapa untuk berdakwah secara berhikmah. - Foto hiasan

Jika hal seperti ini berlaku kepada ibu bapa sebahagian umat Islam, maka adalah menjadi kewajipan anak untuk menasihati mereka secara berterusan tanpa berputus asa. Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu alasan untuk membenarkan anak bersikap kurang ajar atau kasar terhadap ibu bapa mereka.

Bahkan sifat hormat-menghormati perlu ditingkatkan apabila mendekati mereka untuk berdakwah secara berhikmah. Insya-Allah dengan usaha berterusan, ibu bapa yang lalai akan mendapat hidayah dan kembali ke pangkal jalan.

Oleh sebab itulah Allah SWT mendidik Nabi SAW supaya sentiasa berdakwah secara hikmah seperti mana firman-Nya yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah, kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik." (Surah al-Nahl, ayat 125).

14 dibaca
Berita Harian X