Khamis, 9 Jun 2016 | 12:00am
TAYAR celup yang bertaburan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran Batu Uban, Georgetown, meningkatkan risiko kepada pemandu kenderaan dan penunggang motosikal. - Foto Syed Ismail Syed Abu Bakar
SERPIHAN tayar yang tertanggal daripada tayar lori di Lebuh Raya Utara Selatan.
PEMERIKSA kereta motor Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah, Mior Ahmad Mior Samsudin memeriksa ketebalan bunga tayar menggunakan alat pemeriksa tayar di Program Kempen Terminal Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2016. - Foto Sharul Hafiz Zam

Tayar celup langgar piawaian



PETALING JAYA: Kira-kira 30 peratus daripada 1.2 juta tayar celup yang diedarkan dalam pasaran tempatan setiap tahun, disifatkan tidak berkualiti kerana dikeluarkan tanpa mematuhi piawaian serta mempunyai pengiktirafan yang sah.

Presiden Persatuan Pengilang Tayar Celup Malaysia (TRMAM), Chin Hon Meng, ketika mendedahkan situasi terbabit, mendakwa tayar itu dikeluarkan kilang tanpa pengiktirafan Malaysian Standard (MS) 224 SIRIM Bhd, seperti diwajibkan sejak November 2007.

Beliau mendakwa, pengedaran tayar celup tidak mematuhi piawaian yang berleluasa itu, menjadi punca banyak kejadian komponen berkenaan pecah hingga serpihannya membahayakan keselamatan pengguna jalan raya di seluruh negara.

"Setiap tahun pengilang negara ini, mengeluarkan kira-kira 600,000 tayar baharu dan 1.2 juta tayar celup untuk kegunaan kenderaan komersial.

"Ketika ini, ada 60 kilang tayar celup diiktiraf dengan persijilan SIRIM MS 224 dan agensi kerajaan seperti Lembaga Getah Malaysia (LGM). Namun, ada kilang-kilang yang mengeluarkan sejumlah besar tayar celup tanpa ada sebarang pengiktirafan.


PRESIDEN Persatuan Pengilang Tayar Celup Malaysia (TRMAM), Chin Hon Meng. - Foto Saddam Yusoff

ANGGOTA PUSPAKOM memeriksa keadaan tayar bas ekspres dalam Operasi Bersepadu kesan kesalahan trafik di Lebuhraya NKVE, Hentian Sungai Buloh arah selatan. - Foto Nazran Jamel

"Tayar celup yang dikeluarkan oleh kilang-kilang ini tidak berkualiti serta gagal mematuhi piawaian keselamatan SIRIM hanya kerana mahu menjimatkan kos," katanya dalam sidang akhbar, di sini semalam.

TRMAM tampil membuat pendedahan itu susulan siri laporan BH yang mendedahkan tayar celup menjadi punca nahas kemalangan jalan raya dan pengguna jalan raya menuntut kerajaan mengharamkan penggunaan jenis tayar itu.

Hon Meng mendakwa, tayar celup yang berkualiti dan mematuhi piawaian SIRIM MS 224, tidak akan menyebabkan serpihan besar jika meletup.

"Proses pembuatan tayar celup adalah usaha serius dan memerlukan penyeliaan rapi termasuklah menggunakan getah semula jadi. Pemantauan pihak berwajib juga sering dilakukan, oleh itu pengilang tidak akan mempersia-siakan pengiktirafan MS 224 yang diberikan.

"Namun, kami tidak menafikan pengurusan yang tidak cekap, keadaan jalan raya yang kurang baik, muatan berlebihan dan pemanduan yang buruk menjadi antara penyebab kegagalan penggunaan tayar di jalanan," katanya.


ANTARA laporan BH mengenai tayar celup.

Mengulas tentang isu penggantian tayar celup dengan tayar import dari China seperti yang dibangkitkan BH, Hon Meng mendakwa, produk terbabit tidak selamat dan tidak bersesuaian untuk digunakan di negara ini.

"Kita akui tayar import dari China murah, tetapi menjadi persoalan adalah bahan yang digunakan untuk pembuatannya. Adakah ia selamat? Lagipun tayar itu tidak boleh dicelup semula, sekali gus membebankan ramai pihak," katanya.

Sementara itu, peserta industri yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan pengeluaran tayar celup tidak mematuhi piawaian di negara ini, diminta tampil melaporkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk memudahkan pembanterasan.

Jurucakap KPDNKK berkata, tindakan pembanterasan boleh diambil terhadap kegiatan itu mengikut Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Tayar Pneumatik) 2012 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.


TAYAR celup menjadi punca nahas kemalangan jalan raya.

"Sebelum ini, KPDNKK sering membuat pemeriksaan berjadual terhadap kilang pengeluaran dan tiada kesalahan serius direkodkan, kecuali perkara yang mempunyai kaitan dengan penandaan sijil Sirim Malaysia Standard (MS).

"Bagaimanapun setakat ini,  tiada aduan yang dibuat sama ada daripada pengeluar tayar celup yang diiktiraf atau pengguna jalan raya berhubung kewujudan kilang haram mengeluarkan tayar celup tanpa piawaian," katanya kepada BH.

Mengulas pemeriksaan terhadap kilang, jurucakap KPDNKK berkata, penguat kuasa melakukan pemeriksaan berkaitan keselamatan tayar termasuklah sistem cengkaman tayar, kerangka tayar, bunga tayar dan penandaan MS.

"Perkara utama yang harus dititik-beratkan pengilang dalam mengeluarkan tayar celup adalah rangka tayar masih dalam keadaan baik.

"Tayar lama atau kerangka yang diguna semula itu perlu bersesuaian sebelum dipasang bunga tayar yang baharu. Jika tidak produk itu tidak akan melepasi piawaian SIRIM," katanya.

Selain KPDNKK, pihak yang bertanggungjawab terhadap penilaian tayar celup adalah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) iaitu dari segi perundangan kesalahan jalan dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) yang melakukan pemeriksaan ketebalan tayar.

23 dibaca
Berita Harian X