Rabu, 8 Jun 2016 | 5:48pm

DUN Melaka: 16 usul pindaan enakmen akan dibentang


Datuk Seri Idris Haron.

AYER KEROH: Kerajaan Melaka akan membentangkan sebanyak 16 usul pindaan enakmen berkaitan penggunaan logo, lambang dan nama penganugerahan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), akhir bulan ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata usul pindaan enakmen itu antaranya membabitkan pemilihan perkataan, lambang, penganugerahan dan tindakan undang-undang.

"Apabila ada Rang Undang-undang ini, peranannya akan diletakkan di bawah bidang pihak berkuasa negeri dan boleh mengelakkan kekeliruan pelbagai pihak.

"Pindaan berkaitan penggunaan logo, anugerah dan kebesaran Tuan Yang Terutama (TYT) ini juga sudah disahkan untuk dibahaskan dan akan diluluskan di peringkat DUN," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Kerajaan negeri pada Februari lalu bercadang mewujudkan enakmen baharu bagi membanteras tuntutan segelintir pihak mendakwa sebagai Sultan Melaka atau Bonda Ratu atau apa jua gelaran dan keturunannya sebelum ini di negeri itu.

Sementara itu, Idris mengarahkan pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengkaji beberapa laluan persimpangan lampu isyarat bagi tujuan meleraikan aliran trafik yang semakin sesak di bandar raya ini.

"Saya sarankan kepada JKR dan KPKT untuk membina laluan ke kiri dan membuat pusingan U dalam jarak kira-kira 300 meter supaya kenderaan boleh meneruskan perjalanan masuk ke kanan tanpa berhenti.

"Jalan yang dicadangkan antaranya di Malim, Pulau Gadong, berhampiran pasaraya TESCO dan mempunyai persimpangan," katanya.

Berita Harian X