Rabu, 8 Jun 2016 | 4:31pm

34 peniaga Souq Al-Bukhary saman MBAS RM3.4 juta


WAKIL peniaga Pasar Besar Souq Al-Bukhary, Mohd Helmi Mohd Isa (dua dari kiri) bersama peguam, Datuk Dr Aswandi Mohamed Hashim (empat dari kiri) serta peniaga menunjukkan writ saman yang difailkan kepada MBAS di Mahkamah Alor Setar. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Sekumpulan 34 peniaga pasar basah di Pasar Besar Souq Al-Bukhary, di sini, memfailkan saman ganti rugi membabitkan nilai keseluruhan RM3.4 juta ke atas Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), hari ini.

Saman itu difailkan mereka melalui Tetuan Aswandi Hashim & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Alor Setar, di sini, berikutan kegagalan MBAS menunaikan janji mengekalkan tapak pasar basah di premis itu, sehingga menyebabkan kumpulan peniaga terbabit kerugian akibat kehilangan punca pendapatan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, defendan didakwa menyebabkan plaintif kehilangan punca pencarian dan mengalami kerugian besar berikutan tidak dapat berniaga sejak tiga minggu lalu apabila tapak pasar dirobohkan Bukhary Realty Sdn Bhd (Bukhary Realty) selaku tuan tanah.

Pihak plaintif mendakwa defendan bertindak melanggar janji apabila gagal mempertahankan kewujudan Pasar Besar Souq Al-Bukhary seperti dinyatakan dalam syarat nyata kegunaan hartanah.

Perkara itu dijelaskan apabila plaintif diarah berpindah ke pasar sementara di belakang Taman PKNK, di sini, pada 2003 dan Oktober tahun lalu selepas diarahkan mengosongkan semua lot berkenaan.

Selain itu, defendan dalam tuntutan sama turut didakwa gagal menjalankan tanggungjawab sosialnya apabila tidak mempertahankan syarat nyata kegunaan hartanah bagi tapak perniagaan sahaja iaitu pasar, apabila defendan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bertarikh 9 November 2003 dengan Bukhary Realty.

Plaintif pada masa sama menuntut satu perintah mahkamah dikeluarkan supaya defendan mengemukakan Perjanjian Jual Beli yang dimasuki antara defendan dengan Bukhary Realty.

Defendan juga diarahkan menyediakan tapak baharu atau kekal untuk plaintif menjalankan perniagaan bertujuan menjamin kepentingan plaintif dalam tempoh 30 hari dari tarikh perintah diberikan.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi teruk berjumlah RM100,000 seorang akibat penyerahan milikan kosong lot perniagaan di Pasar Besar Souq Al-Bukhary yang berpunca daripada tindakan defendan menandatangani Perjanjian Jual Beli dengan Bukhary Realty.

Berita Harian X