Rabu, 8 Jun 2016 | 1:58pm

Bayar zakat menerusi www.zakat.com.my

PORTAL www.zakat.com.my.

KUALA LUMPUR: Umat Islam kini boleh membayar zakat fitrah secara dalam talian yang beroperasi 24 jam menerusi portal www.zakat.com.my atau 14 perbankan internet terpilih, antaranya Maybank, Bank Rakyat dan Bank Islam.

Selain itu, mereka boleh melakukan transaksi zakat fitrah di kaunter zakat bergerak termasuk 10 kaunter zakat yang dibuka sepanjang Ramadan dengan waktu operasi mulai jam 8.15 pagi hingga jam 4.30 petang, manakala di UTC KL Pudu Sentral, jam 8.15 pagi hingga jam 5 petang.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mohd Rais Alias, berkata 11 lokasi kaunter bayaran zakat PPZ-MAIWP itu berdekatan penempatan orang ramai dan mudah akses membolehkan pembayar menyemak rekod zakat, membuat taksiran serta mendapatkan khidmat nasihat yang betul.

"Sebanyak 99.9 peratus penduduk wilayah wajib membayar zakat fitrah, yang diukur mengikut kemampuan seseorang individu sekurang-kurangnya mempunyai cukup makanan untuk dirinya dan keluarga pada hari raya.

"Mereka yang membayar zakat fitrah di 11 kaunter PPZ-MAIWP akan diberikan cenderahati penghargaan iaitu, buku mini 'Mudahnya Menjemput Rezeki' dan set buku panduan kanak-kanak, Siri Rukun Islam membabitkan syahadah, solat, zakat, puasa dan haji," katanya pada sidang media Pengumuman Perkhidmatan PPZ-MAIWP Sepanjang Ramadan 1437H, di sini.

Orang ramai juga boleh menonton panduan umum siaran INFOADDEEN, Tips Ramadan dan dakwah secara dalam talian di youtube.com/PPZTV dan Facebook.com/myzakat.

Panel jemputan ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Al Bakri, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, Ustaz Ramadan Fitri dan Ustaz Khairul Azhar Samsuddin.

INFO

11 lokasi kaunter bayaran zakat PPZ-MAIWP:

- Taman Shamelin Perkasa-Wangsa Maju KLSC, Seksyen 5-Putrajaya Presint 9-Putrajaya Presint 15, Diplomatik-Anjung Niaga, Taman Tun Dr Ismail-Daruzzakah Lorong Haji Hussein 2, Kampung Baru-Masjid Al-Iman Al-Ghazali Kepong-Masjid Abd Rahman Bin Auf Jalan Puchong-Masjid Negara-Labuan Times Square-UTC KL Pudu Sentral.

Berita Harian X