Khamis, 6 November 2014 | 8:13pm

Media Prima raih pendapatan RM1.1 bilion dalam 9 bulan 2014

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd mencatat untung sebelum cukai sebanyak RM56.84 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2014, susut daripada RM85.49 juta pada suku sama tahun lalu.

Penyusutan untung itu disandarkan kepada pendapatan yang turun kepada RM379.6 juta pada tempoh kajian berbanding RM439.28 juta tahun lalu.

Kumpulan pelaburan media bersepadu itu dalam kenyataannya hari ini menyebut, prestasi lebih rendah disebabkan persekitaran operasi yang lebih mencabar dan sentimen berhati-hati para pengiklan.

Pengerusi, Tan Sri Johan Jaafar, berkata kumpulan akan terus kekal berdaya saing walaupun keadaan persaingan sengit, ketidakstabilan pasaran dan persekitaran operasi yang semakin mencabar.

"Kami kekal komited untuk terus memberikan pulangan yang kukuh kepada para pemegang saham yang mana Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim kedua, dividen satu peringkat sebanyak 3.0 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014.

"Ketidakstabilan pasaran, sentimen pengguna yang lemah serta tragedi membabitkan penerbangan MH370 dan MH17 juga menyebabkan pengiklan menjadi lebih berhati-hati terhadap iklan yang ditempatkan dalam tempoh itu," katanya.

Mengikut Johan, Media Prima mencatat pendapatan terkumpul hingga September 2014 sebanyak RM1.1 bilion dan Keuntungan Selepas Cukai sebanyak RM106.7 juta dengan margin keuntungan selepas cukai sebanyak sembilan peratus.

Sementara itu, mengulas prospek tahun 2014, Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Amrin Awaluddin, berkata kumpulan akan terus menyediakan kandungan tempatan dan antarabangsa yang terbaik bertujuan menembusi pasaran baharu dan membina aliran pendapatan tambahan.

Oleh kerana perniagaan dan keadaan pasaran yang mencabar, Media Prima akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan strategi utama kepada pertumbuhan pengiklanan dalam baki tempoh tahun kewangan.

Perbelanjaan pengiklanan dijangka meningkat hingga akhir tahun berdasarkan pengalaman tahun-tahun yang lalu. Pada masa yang sama, Kumpulan akan terus menguruskan kos dengan memantau penyumbang kos utama kami dan pelaksanaan inisiatif penjimatan di seluruh peringkat Kumpulan, tambahnya.

Rangkaian Televisyen Media Prima (RTMP) terus meraih bilangan penonton yang terbesar yang mana 20 program paling popular antara bulan Julai hingga September 2014 telah disiarkan di RTMP.

Sementara itu, Rangkaian Radio Media Prima sentiasa menjadi pilihan utama pendengar radio tanah air dan kini mempunyai lebih lima juta pengikut media sosial untuk ketiga-tiga stesen radionya.

Platform Media Cetak pula mengekalkan jumlah pembaca dengan pertumbuhan bagi Metro Ahad dengan jumlah pembaca mencecah 4.2 juta hingga Jun 2014.

Portal video Media Prima Digital, Tonton kini mempunyai lebih 4 juta pengguna berdaftar dan pelancaran Tonton Music awal tahun ini diharapkan akan meningkatkan lagi populariti portal itu.

Mengikut Amrin, platform media kumpulan itu mempunyai kedudukan kukuh di pasaran seperti Big Tree Outdoor dan Primeworks Studios, berupaya memberikan pulangan yang tinggi kepada para pengiklan yang ingin memaksimumkan pelaburan pengiklanan mereka.

Berita Harian X