Rabu, 8 Jun 2016 | 7:33am

Khairul pilih sertai SUKMA Sarawak berbanding Poland


PELARI pecut muda Negara, Khairul Hafiz Jantan. - Foto Hasriyasyah Sabudin.

SEPANG: Pelari pecut muda negara, Khairul Hafiz Jantan menegaskan keputusannya menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) berbanding Kejohanan Remaja Dunia di Poland, Julai ini adalah berdasarkan pilihan sendiri.

Dia yang meraih satu emas dan dua perak pada Kejohanan Remaja Asia di Vietnam baru-baru ini, menjelaskan keputusannya tidak dipengaruhi mana-mana pihak termasuk jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim yang sebelum ini dilaporkan bertegas mahu beliau dan Badrul Hisyam Abdul Manap menyertai SUKMA.

"Saya pilih SUKMA kerana saya tengok ramai pelari muda lahir dari kejohanan berkenaan...Sayanglah sebab saya terpaksa memilih antara dua kejohanan berkenaan yang berlangsung pada Julai ini.

"Saya mahu buktikan (kepada jurulatih) bahawa saya dan Badrul Hisyam akan cuba memecahkan rekod kebangsaan di SUKMA Sarawak," katanya ketika ditemui pemberita setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Vietnam, malam ini.

Badrul Hisyam pula berpandangan SUKMA tetap menampilkan saingan sengit terutamanya kontinjen Sarawak yang dijangka mempertaruhkan dua pelari pecut terbaik mereka iaitu Nixson Kennedy dan Jonathan Nyepa.

"Saya yakin banyak lagi kejohanan di luar negara yang saya boleh sertai walaupun tidak sertai Kejohanan Remaja Dunia pada kali ini.

"Persaingan di antara saya dan Khairul Hafiz bukan sahaja ketika menyertai kejohanan tetapi juga sewaktu berlatih bersama," kata Badrul Hisyam.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim yang ditemui pemberita menjelaskan badan induk itu bersikap terbuka terhadap pendirian atlet mereka dalam menyertai mana-mana kejohanan.

Beliau turut menjelaskan pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam tempoh terdekat bagi merangka persiapan dua atlet berkenaan untuk menghadapi kejohanan seterusnya.

"Kita juga akan usahakan untuk mereka mendapat latihan khusus kerana mereka menjadi sandaran KOM pada Sukan SEA 2017 nanti...Untuk insentif, kita akan memberikan jumlah sama diterima atlet negara ketika menyertai Kejohanan Remaja Asia Tenggara (sebelum ini)," jelas Karim.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas sebelum ini dilaporkan mahu dua atlet kelahiran Melaka itu melupakan SUKMA Sarawak dan memberi tumpuan kepada Kejohanan Remaja Dunia di Poland.

Khairul Hafiz dan Badrul Hisyam menempah tiket acara 100 meter ke Poland setelah masing-masing mencatat 10.50 saat dan 10.53 saat pada Kejohanan Olahraga Terbuka UniMAP 2015, sekaligus melepasi had kelayakan ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa iaitu 10.55 saat.

Dua atlet muda itu juga mengesahkan slot acara 200m ke kejohanan sama.

Turut menempah tiket ke Poland ialah atlet lompat kijang wanita, R Kirthana dan Mohd Rizzua Haizad Muhammad dalam acara 110m lari berpagar lelaki. - BERNAMA

Berita Harian X