Khamis, 6 November 2014 | 7:45pm

Khazanah janji telus dalam penswastaan MAS - MSWG

SUBANG: Khazanah Nasional Bhd, syarikat pelaburan kerajaan berjanji untuk telus dalam proses penyusunan semula Penerbangan Malaysian (MAS), malah selepas penswastaan syarikat penerbangan itu, kata Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG).

Pengurus Besar Perkhidmatan Korporat, Lya Rahman berkata pemegang saham sudah lama menyuarakan pandangan dan kebimbangan mereka, dan Khazanah wajar mengambil maklum mengenainya.

"Khazanah perlu telus dalam semula proses yang diambil, apa saja yang mereka lakukan kerana ia adalah aset negara. Serahkan kepada Khazanah untuk menjalankan tugas mereka dan berdoa supaya usaha itu berjaya selepas usaha sebelum ini gagal," katanya selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) MAS di sini hari ini.

Mengenai proses pengundian, beliau berkata tawaran Khazanah untuk mengambil alih baki saham yang tidak dimilikinya pada harga 27 sen, mendapat persetujuan daripada lebih 93 peratus pemegang saham.

"Saya rasa pemegang saham mengetahui mereka patut menerima tawaran ini kerana jika proses ini tidak berjaya, mereka mungkin hilang segala-galanya," katanya.

Beliau berkata MSWG juga berpuas hati dengan maklum balas MAS terhadap soalan-soalan yang dianjurkan oleh pemegang saham.

"Mereka memberi jawapan yang baik," katanya. - BERNAMA

12 dibaca
Berita Harian X