Selasa, 7 Jun 2016 | 12:25pm

Saudi masih kaji rempuhan di Mina tahun lalu - Menteri Haji


MOHAMMED bin Nayef (kiri) dan Mohammed bin Salman . - Foto Reuters

JEDDAH: Pihak berkuasa Arab Saudi masih mengkaji rempuhan maut ketika musim haji tahun lalu, kata menteri haji dan umrah kelmarin, kenyataan yang jarang dibuat seorang pegawai kanan Arab mengenai tragedi itu.

Lebih daripada 2,000 jemaah mati dalam rempuhan itu, menjadikannya bencana paling buruk yang pernah berlaku pada musim haji.

"Kami sudah mengkajinya dan akan terus mengkaji, Insya-Allah, kita akan mempunyai lebih banyak langkah-langkah pencegahan dan prosedur yang tidak akan mengulangi apa yang berlaku pada masa lalu," kata Menteri Haji dan Umrah, Mohammed Bentin kepada AFP selepas sidang akhbar di bandar Laut Merah, Jeddah.

Putera Mahkota, Mohammed bin Nayef yang juga Menteri Dalam Negeri dan pengerusi jawatankuasa haji, mengarahkan siasatan selepas bencana 24 September lalu, tetapi masih tiada sebarang laporan berhubung hasilnya.

Menurut data daripada pegawai asing, sekurang-kurangnya 2,297 jemaah haji meninggal dunia. Arab Saudi sebaliknya mengeluarkan angka kematian berjumlah 769 orang.

Tragedi berlaku ketika jemaah sedang bersesak-sesak menuju ke Jamrah dalam cuaca panas, untuk melaksanakan ibadat melontar. - AFP

Berita Harian X