Selasa, 7 Jun 2016 | 9:18am

Kekangan berkempen uji keupayaan calon

SEAWAL jam 7 pagi semalam, Bandar Diraja Kuala Kangsar di tebing Sungai Perak, bagaikan tidak bergerak dengan kenderaan sesak menuju ke pusat penamaan calon di Dewan Jubli Perak.

Polis terpaksa bekerja keras untuk melancarkan aliran trafik di tengah bandar yang menjadi sempit berikutan kehadiran ribuan penyokong parti politik dari seluruh negara pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar.

Apa yang menarik perhatian pada PRK Kuala Kangsar ini ialah ketidakhadiran calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd Yazid kerana masih dalam tempoh edah. Beliau bertanding menggantikan tempat suaminya, bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad, yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lalu.

Mungkin buat kali pertama dalam sejarah, BN kini diuji sejauh mana penerimaan rakyat terhadap calonnya yang tidak tampil berkempen, tiada di pusat penamaan calon, tiada bersemuka dengan pengundi dalam majlis ceramah, tiada bersua dengan penjaja di pasar basah dan sebagainya seperti kelaziman dalam sistem politik demokrasi.

Namun, diharapkan juga ia tidak dijadikan isu oleh pengundi beragama Islam yang sepatutnya tahu soal hukum. Malah, pucuk pimpinan PAS turut mengingat jentera parti itu supaya tidak menyentuh isu edah calon BN sepanjang tempoh berkempen.

Lipat ganda pendekatan

Cuma yang membezakannya ialah dari segi amalan biasa dalam sistem berpolitik di negara kita. Ini bermakna, BN perlu melipatgandakan pendekatan menjaja BN sebagai satu jenama atau #teamBN.

Meskipun Mastura sudah bersama rakyat Kuala Kangsar sepanjang karier politik suaminya, namun masih ada lagi yang tidak mengenalinya secara dekat dan ia sudah pasti memberi satu kekangan.

Benar, calon BN itu boleh berkomunikasi dengan pengundi menggunakan media sosial, live streaming dan klip video yang boleh ditayangkan, tetapi pendekatan itu belum terbukti berkesan, sekali gus menjadi satu lagi ujian kepada BN. Jika berkesan, maka ia membuka lembaran baharu untuk kempen pada masa akan datang dengan sasaran kepada pengundi muda.

Oleh itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan pasukannya perlu bekerja lebih keras untuk meyakinkan pengundi dalam kempen tanpa kelibat Mastura.

Benar, ada yang mempersoalkan mengapa perlu pilih Mastura kerana beberapa kekangan yang terpaksa dilalui BN berikutan hukum tempoh edah, tetapi sumber berkata, Mastura adalah pilihan terbaik dalam kalangan empat atau lima nama disenarai pendek.

Diharap tiada sabotaj

Berikutan itu, diharap tiada berlaku sabotaj dari dalam UMNO. Difahamkan, ada calon berpotensi masih tetap mahu melobi untuk jadi calon meskipun nama Mastura sudah diumumkan.

Namun, ikatan kekeluargaan terserlah apabila empat anak Allahyarham Wan Khair-il dan Mastura, keluar dari rumah mereka di Bukit Chandan di Kuala Kangsar untuk turut berarak bersama penyokong BN ke pusat penamaan calon di Dewan Jubli Perak, pagi semalam.

Wan Emir Astar, 26; Wan Imar, 25; Wan Iskandar, 23 dan Wan Amar, 19, berpakaian baju Melayu serba biru menaiki dua kenderaan.

Satu kelebihan untuk calon BN ialah ia berdepan tiga calon lain mewakili PAS, Parti Amanah Negara (PAN) dan Bebas.

Ini memungkinkan undi pembangkang berpecah, sekali gus memberi kelebihan kepada BN meskipun pada pilihan raya umum lalu, BN cuma menang majoriti 1,082 undi.

Namun, pertembungan empat penjuru ini tidak menjamin laluan mudah bagi BN dalam keadaan politik semasa yang dipenuhi pelbagai isu, termasuk isu nasional.

Isyarat awal dapat dilihat dengan jumlah kehadiran penyokong PAS lebih ramai daripada BN di sekitar Dewan Jubli Perak, manakala penyokong PAN agak kurang. Bebas pula bukan ancaman.

Berita Harian X