Selasa, 7 Jun 2016 | 12:02am

Luqman Hakim Ramlan jaguh lompat jauh

LUQMAN Hakim Ramlan.

KAJANG: Ketika berusia lapan tahun minat dalam sukan sudah bercambah dalam dirinya. Namun Luqman Hakim Ramlan dilihat 'agresif' kerana ingin menjadi mahir dalam semua sukan yang disertainya.

10 tahun selepas itu, anak pasangan Datuk Ramlan Salleh dan Datin Roslina Mohamad banyak menghabiskan masa dengan sukan olahraga - acara balapan dan padang - selain bola sepak dan bola keranjang.

"Sejak kecil lagi dia minat bersukan. Dia nampak berbakat, jadi saya yakin Luqman boleh pergi jauh jika disokong dengan baik, tapi saya ada prinsip kalau dia nak dia kena usaha sendiri. Tak perlu harapkan orang lain," kata Ramlan ketika menceritakan mengenai permulaan anaknya itu dalam arena olahraga.

Untuk rekod, Luqman Hakim, atau Hakim mencuri perhatian peminat sukan tanah air apabila mencipta kejutan memenangi pingat emas di temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT), menerusi acara lompat jauh.

Kata Ramlan anak lelakinya itu sebenarnya tidak gemar merungut walaupun berdepan banyak halangan untuk meneruskan minatnya dalam sukan lompat jauh itu. Tetapi sebagai seorang bapa, dia sentiasa memberi dorongan kepada Hakim kerana mendapati dia memiliki kelebihan dari segi fizikal.

"Saya selalu cakap kepada dia, kita kena fokus lakukan apa yang kita mahukan, tapi bila buat kena jadikan ia yang terbaik. Dulu-dulu semua sukan dia boleh main, bola sepak pun pernah mewakili daerah," katanya.

RAMLAN dan Roslina menunjukkan antara sijil pencapaian Hakim ketika di temuramah oleh BH Sukan. - Foto Osman Adnan

ROSLINA, Ramlan, Haiqal Aiman dan Nurul Ain memperagakan beberapa trofi yang di menangi Hakim. - Foto Osman Adnan

Apa pun Ramlan menegaskan, dorongan saja tidak cukup dan dorongan perlu dijadikan tambahan selain usaha berterusan yang hadir dalam jiwa anaknya itu. Walaupun dicabar dan dimarah kalau tidak menang sesuatu kejohanan, Hakim tidak pernah merungut sebaliknya tekad berusaha untuk maju

"Dia akur saja kalau saja tegas kerana saya tidak mahu Hakim ketinggalan. Kalau tidak berlatih dia akan pergi berenang, main lompat tinggi, kadang-kadang berlatih di rumah, main lompat-lompat. Di situ dia curi peluang untuk belajar. Semua benda dia akan buat sendiri," katanya.

"Usahanya ada. Kalau saya, isteri dan adik beradik lain tak dapat tolong, dia akan menonton You Tube atau melayari laman web untuk tengok dan kaji macam mana orang lain buat," katanya.

Selain Hakim, semua ahli keluarga lain termasuk Ramlan dan isteri adalah ahli sukan. Kakaknya, Nurul Ain, adalah bekas ketua pasukan dan pemain bola jaring kebangsaan. Selain itu, adiknya, Haiqal Aiman, turut aktif dalam olahraga selain sukan berbasikal manakala abangnya, Mohd Hafiz, adalah pemain bola sepak pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ramlan sebelum ini bekas atlet olahraga Selangor pada 1970-an manakala isterinya pula pernah mewakili sekolah dalam pasukan bola jaring.

Sementara itu, Luqman Hakim Ramlan memasang impian untuk melangkah lebih jauh lagi dan mensasarkan untuk menempatkan nama dalam senarai calon wakil negara untuk ke Kejohanan Olahraga Remaja Dunia.

HAKIM sasar tempatkan nama dalam senarai calon wakil negara. - Foto Azren Jamaluddin

"Saya mahu lebih banyak cabaran bertaraf tinggi. Saya percaya boleh bertanding ke peringkat itu jika mendapat sokongan sebaiknya dari semua pihak.

"Saya berazam menggunakan peluang yang ada untuk berlatih sebaik mungkin dan dalam masa sama berazam untuk layak ke Kejohanan Remaja Dunia selepas ini," katanya.

Katanya, dia sentiasa menjadikan kakak dan keluarga sebagai idola, Luqman mengakui turut meminati atlet Amerika Syarikat, Carl Lewis. Dia sering menjadikan pelbagai sumber rujukan seperti You Tube, majalah dan laman sawang untuk menilai dan mempelajari persembahan atlet legenda itu.

Di peringkat tempatan pula, dia menjadikan bekas jaguh lompat jauh kebangsaan, Mohamed Zaki Sadri sebagai rujukan. Malah dia memasang impian untuk meleburkan catatan rekod 7.85m milik bekas jagoan itu.

HAKIM menunjukkan pingat emas lompat jauh SUKIPT 2014 yang dimenanginya. - Foto Azren Jamaluddin

INFO: Luqman Hakim Ramlan

Sukan lompat jauh

Nama ayah dan ibu: Datuk Ramlan Salleh, Roslina Mohamad
Adik beradik: Nurul Ain Ramlan, Mohd Hafiz Ramlan, Haiqal Aiman Ramlan

Pencapaian

2013
* Pingat Emas, acara lompat jauh Sukan Institusi Pengajian Tinggi 2014 (SUKIPT) edisi kedua.
* Catatan 7.53 meter sekali gus layak ke Sukan Asia.

2012
* Pingat Emas, acara lompat jauh Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (Catatan 7.13 meter)
* Pingat Emas, acara lompat jauh Sukan Selangor. (Catatan 6.69 meter)
* Pingat Emas acara lompat jauh Perak FTAA Open. Catatan 6.69 meter)
* Pingat Perak acara lompat jauh Selangor Open. Catatan 7.07 meter)
* Pingat Perak acara lompat jauh Kejohanan Sekolah Asia, Surabaya Indonesia. (Catatan 6.98 meter)
* Pingat Perak Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang (catatan 7.27 meter)

Berita Harian X