Khamis, 6 November 2014 | 5:38pm

Pemegang saham sokong penswastaan MAS

mahanum_aziz@bh.com.my

PENGERUSI MAS, Tan Sri Md Nor Yusof (dua dari kiri) melambai kepada wartawan selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) syarikat itu di sini hari ini. - Foto Halim Salleh

SUBANG: Sebanyak 93.98 peratus pemegang saham Penerbangan Malaysia (MAS) setuju terima tawaran Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) untuk membeli semula semua baki saham tidak dimilikinya dan mengeluarkan penyenaraian daripada Bursa Malaysia.

Menerusi program pengurangan modal berpilih (SCR), Khazanah menawarkan membayar 27 sen seunit setiap saham yang tidak dimilikinya membabitkan pembayaran keseluruhan RM1.4 bilion.

"Kami berpuas hati dengan persetujuan pemegang saham dan pembayaran akan dibuat pada Disember ini," kata Pengerusi MAS, Tan Sri Md Nor Yusof selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) syarikat itu di sini hari ini.

Lebih 1,000 termasuk 560 pemegang saham minoriti hadir pada EGM itu.

Khazanah adalah pemegang saham terbesar, menguasai 69.4 peratus saham MAS manakala baki 29 pemegang saham terbesar lain memegang 6.57 peratus daripada keseluruhan pegangan saham syarikat penerbangan nasional itu sebanyak 16.7 bilion saham. Dengan itu, 24 peratus atau empat bilion saham adalah dikuasai pemegang saham minoriti.

Dalam EGM hari ini, Khazanah perlukan sokongan yang mewakili sekurang-kurangnya 50 peratus daripada bilangan saham dan 75 peratus daripada nilai untuk membolehkan SCR itu diteruskan. Khazanah juga perlukan 90 peratus persetujuan daripada pemegang saham untuk mengeluarkan penyenaraian MAS di Bursa Malaysia.

Dengan persetujuan itu, Khazanah dapat melaksanakan pakej penyusunan semula 12 perkara yang diumumkan pada 29 Ogos lalu membabitkan kos keseluruhan RM6 bilion.

Bayaran 27 sen sesaham yang ditawarkan itu merangkumi premium 29.2 peratus daripada harga purata wajaran MAS dalam tempoh tiga bulan sebelum tawaran dibuat pada Ogos lalu.

Mengulas harga tawaran itu, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan yang juga Pengarah MAS, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata 27 sen sesaham adalah nilaian wajar berdasarkan kepada penilaian bebas.

"Daripada menjadi syarikat PN17 (syarikat bermasalah kewangan) lebih baik mereka (pemegang saham) untuk mengambil tawaran 27 sen ini, dan kami melaksanakan penyusunan semulanya. Kelak, ia boleh kembali untuk disenaraikan semula," katanya.

Mengikut Irwan Serigar, kerajaan mengambil langkah menyelamatkan MAS kerana ia adalah entiti kebanggaan negara, justeru Khazanah akan menyuntik RM6 bilion untuk memastikan syarikat itu pulih semula.

Pakej 12 perkara dalam pelan pemulihan komprehensif itu adalah 'langkah perit' yang perlu dilaksanakan Khazanah kerana MAS kerugian sejak tiga tahun berturut-turut dengan jumlah keseluruhan mencecah hampir RM5 bilion.

Antara lain pelan pemulihan itu membabitkan penubuhan sebuah NewCo menjelang 1 Julai 2015 untuk menempatkan operasi MAS sedia ada serta pembiayaan RM6 bilion daripada Khazanah merangkumi kos SCR sebanyak RM1.4 bilion, kos pampasan pengurangan kakitangan (RM1.6 bilion) dan permodalan semula RM3 bilion.

Rancangan penyusunan semula juga bakal menyaksikan penubuhan sebuah Suruhanjaya Penerbangan dan undang-undang khusus, Akta MAS untuk memudahkan proses penstrukturan dilaksanakan.

Berita Harian X