Isnin, 6 Jun 2016 | 7:10pm

Sultan Johor beli juadah berbuka di bazar Ramadan


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar melihat juadah yang terdapat di Bazar Ramadan Bandar Baru Uda di Johor Bahru, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: "Saya memang suka berkunjung ke Bazar Ramadan. Semua nampak sedap dan saya beli semua dan saya hantar ke guard room (petugas Istana)," titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Baginda bertitah demikian ketika ditemui selepas berkenan berangkat ke Bazar Ramadan Bandar Baru Uda di sini, hari ini untuk membeli juadah berbuka puasa.

Baginda yang tiba bersama Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar kira-kira jam 5.50 petang meluangkan masa kira-kira 30 minit mencari juadah berbuka dan beramah mesra dengan rakyat jelata.

Antara juadah yang dibeli Sultan Ibrahim termasuk sup gearbox, murtabak, kebab, air tembikai, satay kambing dan ayam percik.

Rata-rata pengunjung teruja dan terkejut melihat Sultan Ibrahim bersama putera Baginda yang berkenan membeli juadah secara santai.

Orang ramai juga tidak melepaskan peluang bersalaman dan bergambar bersama Sultan Ibrahim dan Tunku Idris Iskandar.

Berita Harian X