Isnin, 6 Jun 2016 | 3:38pm

Anak Mastura mahu temui seramai mungkin pengundi


WAN Emir Astar bersama dua adiknya, Wan Iskandar dan Wan Muhammad Amar melawat Bilik Gerakan BN di Safari Resort, Kuala Kangsar, sebentar tadi. - Foto Sairien Nafis

KUALA KANGSAR: Anak kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, mahu bertemu seramai mungkin pengundi untuk menyampaikan salam dan hasrat ibunya Datin Mastura Mohd Yazid.

Wan Emir Astar yang juga anak sulung Mastura berkata, dia dan tiga adiknya mahu menyampaikan kepada pengundi keazaman ibu mereka untuk menyambung tugas dan khidmat bapa, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad di kawasan Parlimen itu.

"Mak hanya mahu menyambung kesinambungan papa sebab mak dah cukup rapat dengan papa dan karier politik papa. Mak mahu teruskan hasrat dan visi arwah papa," katanya kepada pemberita selepas melawat Bilik Gerakan BN di Safari Resort di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, dua adiknya, Wan Iskandar, 23, dan Wan Muhammad Amar, 19.

Wan Emir Astar berkata, beliau akan membabitkan diri dalam program bertemu pengundi termasuk di bazar Ramadan.

"Saya akan rujuk balik pengalaman saya bersama arwah papa macam mana dia buat aktiviti dan pergerakan dia ketika Ramadan," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan kelibat mereka di khalayak ramai termasuk ketika ke masjid seperti dikawal individu tertentu, beliau berkata, dakwaan itu hanya spekulasi dan mereka bergaul dengan jemaah seperti biasa.

"Tak ada pengawal, memang tak ada kiri kanan, kalau ada orang kata begitu, itu bukanlah situasi kami sebagai anak rasakan sebab kami memang sudah biasa, walaupun dalam kempen pilihan raya bagi kami ia seperti hari biasa termasuk ketika Ramadan," katanya.

Ditanya kemungkinan ada unsur sabotaj selepas ibu mereka dipilih sebagai calon, beliau berkata, mereka adik-beradik tidak melihat perkara itu berlaku.

"Kami cukup fokus, nampak jentera parti semua bertungkus-lumus bantu jentera untuk pastikan kemenangan pihak kami," katanya.

96 dibaca
Berita Harian X