Isnin, 6 Jun 2016 | 2:56pm

Ronaldo boleh rangkul Ballon D'or lagi

MADRID: Roberto Carlos menyatakan sokongan kepada Cristiano Ronaldo untuk merangkul anugerah berprestij Ballon D'Or meskipun Portugal gagal meraih pencapaian membanggakan pada Euro 2016.

Penyerang Real Madrid itu muncul selaku penjaring terbanyak Liga Juara-Juara sekali lagi, selain meledak sepakan penalti kemenangan untuk mereka mengatasi Atletico Madrid.

Berikutan itu, bekas pertahanan Brazil itu percaya pencapaian sedemikian sudah cukup untuk Ronaldo meraih anugerah individu terbabit.

"Cristiano Ronaldo patut memenangi Balloon D'or walaupun dia tidak dapat merangkul Euro 2016.

"Lionel Messi adalah pemain yang baik namun merangkul Liga Juara-Juara perlu diberi pertimbangan yang wajar.

"Pemain terbaik dunia boleh menjadi faktor penentu kepada pertandingan sedemikian dan saya berpendapat dia akan kembali menjadi pemain terbaik dunia," kata Carlos selepas Perlawanan Klasik Corazon yang berlangsung di Santiago Bernabeu, kelmarin.

Selain itu, Carlos turut percaya rakan sepasukan Messi di Barcelona, Neymar boleh merangkul anugerah sama satu hari nanti.

"Dia hanya perlu meneruskan apa yang dia sedang lakukan dan pastinya dia mampu menjadi pemain terbaik dunia satu hari," kata bekas pertahanan kiri Real Madrid itu. - AGENSI

Berita Harian X