Isnin, 6 Jun 2016 | 1:07pm

3 sayap UMNO Pahang bantu kempen Sungai Besar

SUNGAI BESAR: UMNO Pahang menggerakkan jentera dari ketiga-tiga sayap bahagian itu bagi membantu meringankan aturan strategi kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, 18 Jun ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata hampir 50 ahli Puteri, Pemuda dan Wanita mula berkampung di Sungai Besar lebih seminggu lalu.

Katanya, 24 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan itu juga diambil sebagai PDM angkat bagi menambah tenaga kerja untuk segala program menjelang PRK berkenaan.

Beliau berkata UMNO Bahagian Sungai Besar amat mengalu-alukan bantuan pihaknya demi kelangsungan parti dalam mengukuhkan kedudukan BN di Selangor.

"Kehadiran kami adalah bagi meringankan lagi gerak kerja jentera BN di sini malah kami sendiri akan turun bersama-sama berjumpa rakyat untuk meraih undi demi mengekalkan kemenangan BN.

"Walaupun PRK kali ini diadakan pada bulan Ramadan, namun ia tidak menghalang aktiviti kami untuk terus mendekati rakyat dan melaksanakan program-program kerakyatan di sini," katanya kepada Bernama, di sini.

Syed Ibrahim turut yakin, segala aturan program dan pelbagai bantuan daripada segenap bahagian UMNO dari seluruh negara mampu mengekalkan kedudukan BN selama tiga penggal bagi kerusi Parlimen berkenaan.

PRK tersebut diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Tan Sri Noriah Kasnon akibat nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

PRK yang diadakan pada 18 Jun ini, menyaksikan calon BN yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi ditentang PAS diwakili ADUN Meru yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman dan Pengerusi Amanah Sungai Besar Azhar Abdul Shukur bertanding mewakili Parti Amanah Negara (PAN).

Parlimen Sungai Besar mempunyai 42,655 pengundi berdaftar terdiri daripada 42,365 pengundi biasa dan 286 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara. - BERNAMA

Berita Harian X