Isnin, 6 Jun 2016 | 10:38am

MEB ambil alih tanah di Kuantan bernilai RM26.45j


MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (dua dari kiri) menyaksikan Setiausaha Kerajaan negeri Pahang, Datuk Seri Muhamad Sapian Ismail (kiri) bertukar dokumen dengan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Muhibbah Engineering (M) Bhd, Mac Chung Jin selepas menandatangani perjanjian projek pembangunan Kuantan Maritime Hub antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) dengan Muhibbah Engineering (M) Berhad di Kuantan. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Muhibbah Engineering (M) Bhd (MEB) menandatangani perjanjian dengan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang untuk cadangan pengambilalihan sebidang tanah di Kuantan, Pahang, membabitkan nilai RM26.45 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MEB berkata, tanah itu akan dimajukan sebagai Hab Maritim Kuantan dalam tempoh 10 tahun.

Cadangan pengambilalihan itu akan dibiayai menerusi dana dalaman dan tiada liabiliti termasuk liabiliti kontinjen dan jaminan hasil daripada pengambilalihan itu.

"Cadangan pengambilalihan itu memberi peluang kepada kumpulan MEB untuk memajukan aktiviti perindustrian bagi pembinaan serta baik pulih kapal serta fabrikasi struktur luar pantai.

"Ini akan meluaskan fabrikasi dan maritim kumpulan bagi meningkatkan prestasi kumpulan pada masa depan," katanya.

Sementara itu dalam makluman berasingan, MEB berkata dagangan syarikat itu dihentikan pada jam 9.12 pagi dan diniagakan semula pada 10.12 pagi. - BERNAMA

Berita Harian X