Isnin, 6 Jun 2016 | 12:00am

Projek inovasi makanan haiwan berkualiti


PROSES penghasilan makanan haiwan bawah projek Napier Jauhar.

DURIAN TUNGGAL: Sekumpulan 15 pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya melaksanakan projek inovasi makanan haiwan menggunakan benih rumput jenis Napier India yang dapat menampung keperluan bekalan berkualiti untuk lembu dan kambing ternakan.

Projek dinamakan Napier Jauhar itu bukan sahaja menyaksikan penghasilan makanan berprotein tinggi yang menyihatkan haiwan tetapi juga mudah dihasilkan dan hanya menelan kos rendah.

Kumpulan terbabit dibarisi pelajar Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawan, Fakulti Kejuruteraan Pembuatan serta Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, dengan penyeliaan oleh pensyarah UTeM, Misdom Lan, dan pakar perunding dari Al Muhsin Consultancy Services, Mohd Mushin Ismail.

Pengarah projek, Rian Azman, berkata usaha itu menyaksikan benih asal rumput Napier India yang diperoleh dari Australia, dicampurkan dengan baja tahi lembu sebelum dihancur menggunakan mesin.

Katanya, batas pula disediakan di atas tanah, manakala batang rumput Napier India ditanam secara dibaringkan.


HASIL tanaman berprotein tinggi dan menyihatkan haiwan.

Tempoh singkat

Selepas tempoh singkat antara 14 hingga 17 hari, beliau berkata, tunas baharu akan tumbuh dan disuburkan dengan baja tahi lembu.

"Kami menghasilkan inovasi ini bagi melatih penternak atau petani yang berminat untuk menanam rumput jenis berkenaan secara sistematik, sekali gus memperbanyakkan sumber makanan haiwan," katanya.

Beliau berkata, idea itu tercetus selepas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, menyuarakan masalah kekurangan bekalan makanan haiwan dalam pasaran tempatan sehingga 70 peratus daripadanya terpaksa diimport.

"Kekurangan bekalan makanan untuk ternakan menyebabkan petani mendapatkan rumput jalanan yang berbahaya kerana mengandungi toksik atau racun rumpai disembur pekerja am.


AHLI projek Napier Jauhar memberi makanan kepada lembu ternakan.

Cabaran utama

"Ada penternak yang terpaksa membeli palet pada harga sangat mahal, iaitu RM50 untuk 50 kilogram. Sebilangan palet itu juga berprotein rendah dan mengandungi bahan kimia yang tidak baik untuk kesihatan haiwan," katanya.

Bagaimanapun, Rian berkata, kumpulan itu berdepan cabaran utama untuk meyakinkan pihak terbabit bahawa rumput jenis Napier India mampu memberikan pulangan lebih baik dengan kos rendah.

"Satu ekar (0.4 hektar) tanah yang ditanam rumput jenis Napier India dapat menjadi sumber makanan kepada 40 ekor lembu.

"Rumput jenis Napier India juga mampu hidup selama 20 tahun dengan kos penanaman lebih murah dan memberikan hasil lumayan," katanya.

INFO

Rumput projek Napier Jauhar

  • Berprotein tinggi
  • Mudah dihasilkan
  • Kos rendah
  • Pulangan lebih baik
Berita Harian X