Ahad, 5 Jun 2016 | 5:46pm

Calon BN mahu majukan pesisiran Sungai Perak


MASTURA bersama anaknya, Wan Emir Astar dalam sidang media di kediamannya di Kuala Kangsar, hari ini. - Foto Supian Ahmad

KUALA KANGSAR: Calon Barisan Nasional (BN) berhasrat meneruskan agenda pembangunan Kuala Kangsar yang sudah dirangka Allahyarham Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad jika memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar nanti.

Datin Mastura Mohd Yazid berkata, antara rancangan itu ialah memajukan kawasan pesisiran Sungai Perak ke tahap antarabangsa dan terkenal di mata dunia.

"Allahyarham adalah seorang yang sangat suka dengan air dan sungai. Antara perancangannya yang belum tercapai ialah membangunkan pesisiran Sungai Perak di Kuala Kangsar ini secara besar-besaran," katanya pada sidang media di rumahnya di sini sebentar tadi.

Balu bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu mengakui beliau sering berbincang setiap perkara khususnya mengenai pembangunan di situ ketika Allahyarham masih hidup dan memahami isi hatinya yang begitu dekat dengan permasalahan rakyat kawasan berkenaan.

Justeru, katanya, keputusannya untuk menerima hasrat kepemimpinan parti agar beliau menjadi calon adalah didorong niat untuk meneruskan rancangan serta kerja-kerja arwah suaminya yang belum selesai, selepas berbincang dengan anak serta keluarga.

Mengenai kritikan beberapa pihak yang terus mempertikaikan pencalonannya kerana masih dalam edah, beliau berkata biarlah pengundi di Kuala Kangsar yang menilainya sambil menegaskan akan meletakkan hukum agama melebihi keutamaan lain.

Berita Harian X