Ahad, 5 Jun 2016 | 4:51pm

PRK: BN gerak kempen media sosial


TIMBALAN Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan. - Foto Azhar Ramli

KUALA KANGSAR: Barisan Nasional (BN) menggerakkan Kempen Media Sosial menerusi aplikasi Facebook, WhatsApp, Telegram dan Twitter bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Parlimen Kuala Kangsar dan Parlimen Sungai Besar, Selangor.

Pengerusi Biro Teknologi Maklumat UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata kempen itu menyasarkan pengundi muda di kedua-dua kawasan.

"Kami menyebarkan bahan kempen antaranya biodata calon, gambar keluarga serta anak-anak, poster calon, info grafik, video pendek menerusi laman sosial terutama kepada kumpulan-kumpulan WhatsApp tertentu dan daripada kumpulan ini mereka akan menyebar luas bahan kempen kepada pengundi," katanya .

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Kaf Warisan di Kampung padang Changkat, dekat sini, hari ini.

Kedua-dua PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak, pada 5 Mei lalu.

Parlimen Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi berdaftar dengan 67.18 peratus pengundi Melayu, 30.68 peratus pengundi Cina, 1.91 peratus pengundi India dan 0.23 peratus pengundi daripada kaum lain.

Parlimen Kuala Kangsar pula mempunyai 32,949 pengundi mengikut daftar pemilih yang didaftarkan SPR sehingga 7 Mei lepas.

Mengulas lanjut mengenai PRK Parlimen Kuala Kangsar, Ahmad berkata PRK itu dilihat lebih memerlukan laman sosial untuk berkempen berbanding di Parlimen Sungai Besar kerana calon BN Datin Mastura Mohd Yazid tidak dapat bertemu pengundi secara terus berikutan masih dalam edah.

"Oleh kerana calon BN tidak dapat keluar berkempen, maka kaedah media sosial ini adalah amat penting untuk beliau," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 18 Jun sebagai hari pengundian dan tarikh pengundian awal pada 14 Jun bagi kedua-dua PRK.

- BERNAMA

Berita Harian X