Ahad, 5 Jun 2016 | 12:53pm

Generasi muda Johor perlu sertai program kesenian


PENGERUSI Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan (kanan) meletakkan Buku Kaedah Pembelajaran Zapin sebagai simbolik selepas menerimanya daripada Pengarah Yayasan Warisan Johor, Mohd Shahrin Rahmat (tengah) dan diiringi oleh ADUN Tanjung Puteri, Datuk Adam Sumiru (kiri) bersempena Majlis Perasmian Program Lestari Seni Budaya Johor di Kilang Bateri, Tampoi, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini

JOHOR BAHRU: Usaha memartabatkan seni budaya di negeri ini perlu disertai generasi muda bagi melahirkan pelapis yang memperjuangkan legasi bangsa Johor menerusi program kesenian. 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan, berkata pelaksanaan program Lestari Seni Budaya Johor antara platform bagi membudayakan kesenian di negeri ini, sekali gus memberikan impak kepada golongan sasar. 

Katanya, program penjenamaan semula yang dikembangkan oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ) itu memberi peluang kepada peserta bagi menggunakan sepenuhnya pelbagai latihan berpusat dan intensif yang ditawarkan di setiap daerah terpilih. 

"Usaha ini dilihat amat penting bagi membentuk satu pakej pembangunan seni budaya agar pelaksanaannya lebih mudah dipantau, mudah dipromosikan dan diikuti.

"Sehubungan itu, diharap usaha ini akan mendapat sambutan terutama dalam kalangan generasi muda yang bakal mewarisi negeri kita kelak," katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program Lestari Seni Budaya Johor di Kilang Bateri, Tampoi, di sini. Yang turut hadir, Pengarah YWJ, Mohd Shahrin Rahmat. 

Zulkurnain berkata, pihaknya menjangkakan lebih 10,000 peserta akan mengikuti pelbagai program kesenian yang diadakan sepanjang tahun dalam usaha memartabatkan seni budaya Johor. 

Katanya, ini termasuk program kejurulatihan tari, ghazal, muzik keroncong, seni visual, seni khat, taranum, bacaan berzanji dan pertandingan marhaban.

Berita Harian X