Ahad, 5 Jun 2016 | 12:12pm

Anak Mastura tekad bantu ibu harungi kempen


ANAK-ANAK kepada calon PRK P067 Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid, (dari kanan) Wan Emir Astar, Wan Amar, Wan Imar dan Wan Iskandar di luar Pusat Penamaan Calon, Dewan Jubli Perak bersama penyokong BN selepas pengumuman senarai calon yang bertanding di Pilihanraya Kecil P067, Kuala Kangsar. - Foto Khairull Azry Bidin

KUALA KANGSAR: Ibu kuat! Demikian keyakinan disuarakan anak sulung kepada calon Barisan Nasional (BN), bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar, 26.

Beliau bersama tiga lagi adik beradiknya, menyatakan tekad untuk membantu ibunya berkempen demi memastikan kemenangan bergaya BN PRK itu.

Penghormatan diberi parti untuk meletakkan ibunya sebagai calon kali ini disifatkan beliau sebagai satu tanggungjawab besar, malah ia juga sebahagian daripada kepercayaan BN atas sumbangan dibawa Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad sebelum ini.

"Kami akan bekerja untuk ibu demi ayah. Pemilihan ibu sebagai calon adalah mewakili ayah. Ini adalah kesinambungan daripada tugas yang sudah dilakukan ayah sebelum ini dan ibu akan laksanakan amanah itu jika diberi peluang (menang).

"Walaupun tanpa ibu turun ke padang bertemu pengundi, kami akan mewakili ibu dan mengikut semua program yang diatur bilik gerakan dan jentera BN," katanya ketika ditemui, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama tiga adik beradiknya, Wan Imar Izzat, Wan Iskandar dan Wan Muhammad Ammar turut hadir bagi mengiringi wakil ibunya ke Pusat Penamaan calon PRK di Dewan Jubli Perak, di sini.

Ditanya apakah strategi kempen bakal dilaksana, Wan Emir berkata, selain mendekati pengundi menerusi media sosial, mereka juga akan turut rumah ke rumah bagi mendekati pengundi.

17 dibaca
Berita Harian X