Khamis, 6 November 2014 | 2:56pm
BINTANG sensasi Barcelona, Lionel Messi (kiri) menjaringkan gol melepasi pemain Ajax, Niklas Moisander dalam saingan peringkat kumpulan, Liga Juara-Juara, awal pagi ini. - Foto Reuters

Messi tunjuk belang bantu Barca benam Ajax

AMSTERDAM: Lionel Messi menyumbat dua gol membantu Barcelona menewaskan Ajax 2-0 dalam saingan peringkat kumpulan, Liga Juara-Juara, awal pagi ini.

Dua ledakan oleh bintang tersohor dari Argentina itu juga menggerakkan dia untuk menyamai rekod senarai penjaring terbanyak kejohanan, Raul Gonzalez dengan 71 gol.

"Rekod bukan satu sasaran hari ini. Apa yang lebih penting adalah tiga mata untuk pasukan dan layak ke pusingan berikut.

"Sebab itu kami semua gembira hari ini," kata Messi kepada televisyen Canal Plus.

Messi menambah: "Kami menentang pasukan yang bermain bola sepak yang bagus hari ini. Sukar bagi kami

memberi tekanan kepada mereka kerana mereka bergerak licin tapi kami mengaut peluang yang ada.

"Apabila mereka bermain dengan 10 pemain kami masih anggap ia saingan seimbang,"

Messi menjaringkan gol ke-70 Liga Juara-Juara pada minit ke-36 dengan tandukan apabila Ajax gagal menyekat sepakan percuma manakala gol kedua adalah hasil gandingannya bersama pemain gantian, Pedro Rodriguez pada minit ke-76.

Kemenangan ini mengesahkan tiket Barcelona ke pusingan kalah mati kejohanan elit Eropah itu ketika Paris Saint-Germain menewaskan APOEL Nicosia 1-0 untuk kekal di tangga teratas Kumpulan F.

Ajax bermain dengan 10 pemain pada 20 minit terakhir selepas pemain pertahanan, Joel Veltman dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua dalam perlawanan itu.

Messi merakamkan jaringan terbanyak itu dalam perlawanan ke-90 dalam kejohanan Eropah manakala bekas penyerang Real Madrid, Raul mengambil 142 perlawanan untuk mencapai jumlah rekod sepanjang zaman itu.

"Messi sudah pasti adalah pemain terbaik pernah saya saksikan sebagai seorang pemain atau pun jurulatih," kata jurulatih Barca, Luis Enrique. - AFP

Berita Harian X