Ahad, 5 Jun 2016 | 11:26am

Budiman serasi dengan penduduk setempat


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) mengiringi Calon Barisan Nasional (BN) Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi (dua dari kiri) menuju ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar di Dewan Seri Bernam, hari ini. Turut hadir Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar (dua, kanan) dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kanan).PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas. - Foto BERNAMA

SUNGAI BESAR: Meskipun menganggap dirinya sebagai calon 'underdog', Budiman Mohd Zohdi, calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, cukup dikenali dan serasi dengan penduduk di kawasan itu.

Ini kerana, beliau adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sungai Panjang yang berada di bawah Parlimen berkenaan selain Sekinchan.

Anak tempatan berumur 44 tahun itu juga dianggap calon paling tepat untuk meneruskan legasi penyandang kerusi berkenaan, Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon, yang terkorban dalam nahas helikoper di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Dilahirkan di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar, pada 11 Mac 1972, Budiman yang berkahwin dengan Norma Aida Abdullah, seorang pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dikurniakan seorang anak perempuan berumur 16 tahun.

Beliau yang juga Setiausaha ADUN BN Selangor, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di UKM pada 1997, Ijazah Sarjana Sains (Komunikasi) di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2003 dan sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Politik di UKM.

Budiman sebelum ini pernah dipinjamkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri dan pernah bertugas sebagai pengurus latihan dan kualiti, Group Business Assurance di Telekom Malaysia.

Kredibiliti beliau dalam kepimpinan terserlah apabila pernah memimpin Pergerakan Mahasiswa di politeknik dan universiti tempatan dari tahun 1992 sehingga 1997 dan memenangi pilihan raya kampus pada zaman berkenaan.

Naib Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu juga pernah dipilih sebagai pendebat terbaik Universiti ASEAN pada 1996 dan pendebat terbaik Universiti-universiti Malaysia pada 1997.

Budiman adalah anggota lembaga pengarah dalam Yayasan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Maktab Koperasi Malaysia selain pengerusi Jaringan Pemidato Malaysia yang mengumpulkan para pemidato berbilang bangsa dari seluruh negara.

Selain aktif dalam bidang politik, ADUN Sungai Panjang itu turut mengutamakan bidang kebajikan yang beliau adalah pengerusi Yayasan Harapan Budi yang memfokuskan kepada celik Teknologi Maklumat (IT) dalam kalangan kanak-kanak, kesedaran politik dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan kemiskinan dalam kalangan belia.

Minatnya yang mendalam dalam bidang penulisan juga tidak boleh dinafikan apabila Budiman aktif menulis rencana berkaitan isu semasa di akhbar-akhbar utama selain telah menghasilkan tiga buah buku dan aktif dalam media sosial.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Budiman menewaskan Mohd Fadzin Taslimin daripada PAS dengan majoriti 2,183 undi.

PRK Parlimen Sungai Besar yang ditetapkan pada 18 Jun ini, menyaksikan Budiman ditentang calon daripada PAS yang juga ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman manakala Parti Amanah Negara (Amanah) mempertaruhkan Pengerusi Amanah Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur.

Parlimen itu mempunyai 42,655 pemilih berdaftar dengan pengundi biasa (42,365), pengundi awal (286) dan pengundi tidak hadir (4), PRK Parlimen Sungai Besar adalah PRK ke-11 selepas PRU13 yang berlangsung pada 5 Mei 2013. - BERNAMA

Berita Harian X